688 kuil Hindu tanpa kebenaran di Selangor

688 kuil Hindu tanpa kebenaran di Selangor

Kuil Selangor
SULTAN SHARAFUDDIN IDRIS SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, baginda bersependapat dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya pembinaan mana-mana rumah ibadah mesti mengikuti peraturan dan undang-undang.

Pejabat Sultan Selangor dalam kenyataannya berkata, baginda disembah maklum oleh kerajaan negeri sehingga 31 Januari lalu, terdapat 687 kuil hindu dibina tanpa kebenaran di negeri ini melibatkan 388 di atas tanah milik kerajaan dan 299 lagi di tapak persendirian.

“Jumlah kuil tanpa kebenaran ini adalah tinggi jika dibandingkan dengan populasi masyarakat India beragama Hindu sekitar lebih kurang 11.3 peratus di Selangor.

“Jumlah itu pun tidak mengambil kira jumlah kuil di seluruh negeri yang didirikan secara sah dan mendapat kebenaran pihak berkuasa,” katanya, hari ini.

Katanya, Sultan Sharafuddin menyokong kenyataan dibuat oleh Anwar dan ia selari dengan prinsip serta pendekatan yang sentiasa ditekankan oleh baginda iaitu memastikan setiap pembangunan dijalankan adalah mengikut undang-undang berkuat kuasa dan tadbir urus yang baik.

“Sultan Selangor sentiasa menekankan setiap rumah ibadah perlu dibina berdasarkan permohonan yang dibuat dan mendapat kelulusan sah daripada pihak kerajaan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta mengikut segala perundangan dan garis panduan yang ditetapkan.

“Sebarang pembinaan rumah ibadah tanpa kelulusan yang sah melibatkan pencerobohan terhadap tanah kerajaan dan persendirian akan menimbulkan pertelingkahan antara penganut pelbagai agama yang akhirnya menyebabkan ancaman dan risiko keselamatan kepada negeri dan negara ini,” jelasnya.

Justeru, Sultan Selangor mengingatkan kerajaan dan PBT supaya sentiasa meneliti setiap permohonan pembinaan rumah ibadah agar diproses secara telus, adil dan tersusun tanpa mengetepikan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa.

“Aspek pemantauan juga perlu sentiasa dilakukan oleh pihak berkuasa agar pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran di tanah-tanah kerajaan dan tanah persendirian dapat dibanteras dan dikawal.

“Perkara itu juga harus dipatuhi dalam setiap pembinaan dan pembangunan rumah-rumah ibadat khususnya kuil-kuil Hindu agar ia dilaksanakan dengan teratur dari aspek perundangan dan selaras dengan perancangan bandar yang mampan dan terancang,” tambah kenyataan itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN