LRT Laluan Mutiara: Tiada jalan ditutup sepanjang musim perayaan - Zairil

LRT Laluan Mutiara: Tiada jalan ditutup sepanjang musim perayaan – Zairil

ZAIRIL Khir Johari (kanan) ketika ditemui pemberita di George Town, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Tiada jalan utama yang akan ditutup berhampiran tapak projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara sepanjang musim perayaan ini bagi memastikan kelancaran trafik serta pergerakan orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital Pulau Pinang, Zairil Khir Johari berkata, pihak MRT Corp (MRTC) dan kontraktor Projek LRT Pulau Pinang, SRS Consortium juga telah memberi jaminan untuk meminimumkan gangguan trafik sepanjang musim perayaan.

“Jadi, sepanjang musim perayaan ini, tiada penutupan lorong utama akan dibuat. Jika ada kerja-kerja yang memerlukan penutupan jalan, ia hanya akan dilaksanakan pada waktu malam dan bukan pada waktu puncak,” katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke telah mengarahkan kontraktor yang terlibat dalam pembinaan projek LRT Laluan Mutiara agar melaksanakan langkah mitigasi trafik secara berterusan bagi mengelakkan kesesakan teruk di kawasan tapak pembinaan khususnya ketika kerja-kerja pembinaan semakin giat dijalankan di seluruh pulau.

Zairil berkata, bagi sambutan perayaan utama seperti Tahun Baharu Cina pula, kerja-kerja pembinaan kebiasaannya akan dihentikan sementara untuk tempoh satu hingga dua hari, namun, perkara itu bergantung kepada perancangan kontraktor.

Katanya, sekiranya berlaku perubahan laluan bas di sekitar lokasi pembinaan projek Rapid Penang pula, pengumuman akan dibuat lebih awal bagi memastikan pengguna pengangkutan awam mendapat maklumat yang tepat dan mencukupi.

Mengulas mengenai pelan pengurusan trafik (TPM) bagi projek LRT Laluan Mutiara, Zairil berkata, pelaksanaan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) bagi projek tersebut sentiasa dipantau dan dikemas kini setiap bulan mengikut keperluan pembinaan di tapak.

Katanya, TMP akan disediakan oleh MRT selaku pemilik projek sebelum diserahkan kepada pihak berkuasa tempatan serta jabatan teknikal berkaitan untuk diperhalusi.

“Sebarang perubahan pelan trafik dibuat secara dinamik kerana skop kerja pembinaan sentiasa berubah mengikut fasa pelaksanaan projek.

“Setiap bulan, TMP akan dikemas kini dan semua maklumat perubahan akan dimaklumkan kepada orang ramai melalui portal rasmi, termasuk platform media sosial pihak berkuasa tempatan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN