Tiada vaksin tibi untuk golongan dewasa

Tiada vaksin tibi untuk golongan dewasa

DZULKEFLY AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia masih belum mempunyai vaksin khusus bagi mencegah jangkitan tuberkulosis (tibi) dalam kalangan orang dewasa meskipun imunisasi Bacille Calmette-Guerin (BCG) terus diberikan kepada bayi.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, setakat ini masih belum terdapat vaksin anti-tuberkulosis (TB) yang benar-benar berkesan dan sedia digunakan di pasaran.

Katanya, ketiadaan vaksin khusus menyumbang kepada kesukaran untuk menghapuskan sepenuhnya penyakit berjangkit itu dalam masa terdekat.

“Apa yang disebutkan mengenai vaksinasi BCG kepada kanak-kanak adalah benar dan ia masih dilaksanakan, namun sehingga kini, masih belum terdapat vaksin anti-TB untuk orang dewasa. 

“Beberapa pihak sedang membangunkan vaksin tersebut, namun setakat ini ia belum berada di pasaran dan belum berjaya sepenuhnya dari segi ujian klinikal.

“Kita pastinya tidak dapat menghapuskan wabak tibi ini sepenuhnya dalam masa terdekat,” katanya ketika sesi Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) berhubung peningkatan kes tibi termasuk isu keberkesanan imunisasi, kemasukan warga asing serta peranan rintangan antimikrob dalam penularan penyakit berkenaan.

Dzulkefly berkata, peningkatan kes tibi yang dilaporkan tidak menunjukkan kegagalan sistem imunisasi negara, sebaliknya dipengaruhi oleh kemunculan semula penyakit itu sebagai fenomena global yang turut melanda banyak negara.

Katanya, walaupun Malaysia hampir berjaya membasmi tibi suatu ketika dahulu, penyakit itu masih kekal sebagai ancaman kesihatan awam di peringkat dunia.

“Hampir-hampir kita berjaya melenyapkan tibi ini, tetapi kita harus sedar bahawa ia merupakan fenomena global bagi emerging infectious disease,” katanya.

Mengulas aspek imunisasi, beliau menegaskan, liputan vaksinasi negara kekal tinggi dan tidak menjejaskan perlindungan kelompok dalam kalangan masyarakat.

Katanya, hampir keseluruhan bayi yang dilahirkan setiap tahun menerima imunisasi BCG melalui Program Imunisasi Kebangsaan (NIP).

“Yang penting untuk saya sebutkan ialah liputan imunisasi kita masih tinggi dan kita tidak mengalami penurunan liputan yang menjejaskan herd immunity.

“Hampir 99 peratus bayi yang baru lahir dengan jumlah kelahiran sekitar 500,000 setiap tahun menerima perlindungan melalui Program Imunisasi Kebangsaan (NIP) termasuk BCG,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN