KUALA LUMPUR: ‘Saya nak bawa sijil ini pergi ke kubur ayah’, demikian luahan si jantung hati seorang bapa yang telah meninggal dunia pada Jun tahun lalu akibat kanser usus, kini graduan GiatMara itu, Siti Aisyah Abdullah pula menghidapi menghidap kanser limfoma tahap empat.
Tanpa menahan rasa sebak di dada, beliau berkata, dirinya terasa berat untuk menghadapi dugaan yang kini dialami, namun memahami situasi yang hidup perlu diteruskan bersama ibu tercinta, Roslinda Mohd Nor.
“Saya tiada adik-beradik lain kerana saya anak tunggal, jadi hidup saya hanya ibu dan abah sahaja. Sejak abah pergi, kami memang tinggal berdua sahaja. ibu yang banyak teman saya ke sana sini disebabkan penyakit yang dialami.
“Saya tidak boleh berbuat apa-apa pada ketika ini, namun saya bersyukur akhirnya saya dapat menamatkan pengajian saya di sini. Tetapi saya tahu, kalau abah ada hari ini, abah mesti bangga dengan saya,” katanya kepada Utusan Malaysia sambil meluahkan yang majlis graduasi itu merupakan istimewa buatnya kerana mendapat perhatian daripada semua pihak ketika menyerahkan sijil penganugerahan sempena Majlis Graduasi GiatMara Malaysia ke-38, semalam.
Siti Aisyah kini merupakan seorang graduan yang berjaya menamatkan pengajian dalam kursus Kecantikan dan Solekan di GiatMara, Ampang Jaya.
Berkongsi kisah mengenai penyakitnya itu, Siti Aisyah berkata, beliau sebelum ini kerap demam, namun apabila mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan, keadaannya kembali pulih.
Namun, keadaan yang sama terus berulang sejak beberapa bulan, menyebabkan ibunya membawa pergi ke sebuah hospital untuk rawatan lanjut.
“Setelah menjalani beberapa pemeriksaan secara rapi, doktor memaklumkan saya mengalami kanser limfoma tahap empat. Saya terkaku dan terdiam, saya tiada kekuatan untuk berkata apa pun, apatah lagi untuk bercakap.
“Yang saya rasa, ia lebih pedih dan memeritkan, saya tidak tahu apa akan jadi pada diri saya, namun saya tahu saya perlu kuat untuk ibu sebab abah sudah tiada,” ujarnya lagi.
Pada ketika ini, Siti Aisyah hanya fokus kepada rawatan kimoterapi sambil ditemani ibu tercinta bagi meningkatkan kembali tahap kesihatan dengan harapan untuk pulih seperti sedia-kala.
“Saya memang tidak boleh bekerja buat masa kini. Saya hanya duduk di rumah dan jalani rawatan kimoterapi. Ibu yang banyak menemani saya di rumah dan ibu juga tidak bekerja. Kami duduk berdua di rumah dengan ditanggung wang pencen abah. Sebelum ini dia berkhidmat sebagai polis.
“Bekalan yang ditinggalkan untuk kami memang cukup untuk menyara kami berdua di rumah,” ujarnya.
Seorang lagi graduan berusia 64 tahun, Nor Rehan Ismail berkata, beliau tidak langsung berasa malu atau segan untuk menimba ilmu bersama graduan lain yang jauh lebih muda daripadanya.
Jelas Nor Rehan, ia bukan penghalang untuknya bagi menambah kemahiran, malah perkara itu perlu dipandang ke arah yang lebih positif tanpa mengira usia.
“Sebenarnya, bila kita tambahkan lagi ilmu kemahiran, ia menjadikan kita supaya tidak menjadi pelupa, malah ia membantu mental dan fizikal untuk menjadi lebih kuat walaupun kita belajar pada usia yang lebih berumur berbanding pelatih lain,” katanya.
Nor Rehan sebelum ini telah mengambil kos sulaman berkomputer di GiatMara Kuala Lumpur selama tiga bulan, kemudiannya menyambung pengajian dalam kursus jahitan pakaian dan selama enam bulan di GiatMara Kepong. – UTUSAN










