JOHOR BAHRU: Kecederaan ‘achilles tendon’ akibat bermain sukan takraw tidak menghalang seorang anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunaikan tanggungjawab mengundi pada Hari Undi Awal di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.
Sarjan Shahrizal Musa, 40, yang bertugas di Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) berkata, kecederaan itu dialami ketika sedang bersukan, minggu lalu.
Menurutnya, ini merupakan kali pertama dia mengundi dalam keadaan ‘injured’ selepas berkhidmat dalam pasukan beruniform itu sejak 23 tahun lalu.
“Saya mengalami kecederaan ketika sedang bersukan sepak takraw. Saya sudah aktif bermain takraw sejak kecil lagi, saya memang mewakili IPK Johor dalam sukan tersebut.
“Bahagian belakang buku lali saya cedera dan diberi cuti sakit sehingga 16 Julai ini, namun rawatan susulan akan diteruskan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai mengundi awal, di sini.
Tambah Shahrizal, dia telah berkhidmat di negeri ini sejak 2005 selepas ditempatkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Muar, sebelum dipindahkan ke IPK Johor pada 2014.
“Walaupun cedera, ia tetap tidak halang saya keluar menunaikan tanggungjawab sebagai rakyat Malaysia. Saya tidak pernah ‘miss’ mengundi, jadi walaupun cedera saya tetap tunai tanggungjawab.
“Ini pengalaman baharu buat saya,” katanya yang berasal dari Seri Iskandar, Perak.-UTUSAN










