PETALING JAYA: Tuntutan hak kepentingan Kerajaan Kedah terhadap Pulau Pinang merupakan jaminan dan kewajipan yang diletakkan dalam Perkara 167(7) sebagai satu syarat berdirinya Persekutuan Tanah Melayu yang merdeka dalam Komanwel.
Pengasas Jurisprudens Watan dan Fiqh Al-Watan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Datuk Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, tindakan kerajaan Persekutuan pada 2018 meningkatkan bayaran sumbangan khas kepada Kedah sebanyak RM10 juta setahun disifatkan sebagai pengakuan tersirat bahawa jumlah bayaran tahunan di bawah Perkara 167(7) Perlembagaan Persekutuan masih belum diselesaikan mengikut undang-undang.
Beliau berkata, nilai pajakan termasuk bayaran tahunan sebenar di bawah Perkara 167(7) perlu dirundingkan segera.
Katanya, sumbangan tanpa perjanjian bertulis yang memurnikan status peletakan hak wilayah itu hanyalah satu penyelesaian runcit yang tidak memenuhi kehendak Perlembagaan Persekutuan dan Fasal 5 Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957.
Polemik mengenai status sejarah Pulau Pinang dan hubungannya dengan Kesultanan Kedah sering terperangkap dalam emosi politik kenegerian serta perdebatan tafsiran literal terhadap Perlembagaan Persekutuan.
Malah, dakwaan segala hak milik harta dan kedaulatan British berpindah secara mutlak kepada negeri Pulau Pinang pada 31 Ogos 1957 melalui Perkara 166 mengandungi lompang perundangan yang besar apabila diteliti daripada dokumen perundangan termasuk triti dan minit perundingan diraja.
“Perkara 166 tidak boleh ditafsirkan secara berasingan, sebaliknya perlu dibaca secara harmoni dengan Perkara 167(7), Fasal 5 Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1957, Jadual Keempat Perjanjian serta rantaian dokumen sekatan hak sepanjang proses penggubalan Perlembagaan dari 24 Julai 1946 sehingga Perkara 166(1) dan (2) dimansuhkan pada 1963.
“Penelitian terhadap rantaian dokumen tersebut menunjukkan Kerajaan Persekutuan berada dalam keadaan kemungkiran perlembagaan yang berterusan selagi rundingan bayaran tahunan di bawah Perkara 167(7) belum dimuktamadkan bersama Kedah.
“Sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelesaikan jaminan dan kewajipan di bawah Perkara 167(7) yang tertangguh sejak Kemerdekaan kerana ia akan menjadi jasa besar beliau dalam tanggungjawab ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Wan Ahmad Fauzi berkata, dakwaan Kedah telah menerima keadaan sedia ada melalui doktrin acquiescence tidak boleh diterima apabila wujud rantaian dokumen reservasi hak pada 1956.
Beliau berkata, pada 14 September 1956, penasihat undang-undang Raja-Raja Melayu, Mr. Neil Lawson QC menyampaikan reservasi Sultan Kedah kepada Suruhanjaya Reid bahawa kemasukan Pulau Pinang ke dalam Persekutuan adalah sebagai sebuah wilayah tanpa menjejaskan kedaulatan berbaki dan hak kewilayahan baginda di bawah triti 1791, 1800 dan 1869.
Katanya, Sultan Badlishah kemudiannya menandatangani warkah reservasi hak bertarikh 1 Oktober 1956 sebelum Setiausaha Negeri bagi Tanah Jajahan British melalui surat bertarikh 25 Oktober 1956 memperakui reservasi itu serta memberi jaminan bahawa isu hak kepentingan Kesultanan Kedah akan diselesaikan oleh kerajaan pasca-Persekutuan melalui rundingan baharu.
“Siri dokumen itu membuktikan Sultan Kedah tidak pernah melepaskan kedaulatan berbaki dan hak kewilayahan baginda, manakala British menyerahkan tanggungjawab memuktamadkan instrumen pajakan baharu kepada Kerajaan Persekutuan selepas 31 Ogos 1957.
“Tuntutan Sultan Kedah supaya rundingan di bawah Perkara 167(7) disegerakan bukan bertujuan mengubah geografi pentadbiran atau menuntut Pulau Pinang dikembalikan secara fizikal kepada Kedah, sebaliknya bagi menegakkan Keluhuran Perlembagaan di bawah Perkara 71(1) dan 167(7) serta memelihara prinsip kedaulatan Raja-Raja Melayu di bawah Perkara 181(1).
“Struktur pembayaran tahunan yang setara berdasarkan Triti 1869 mengikut keadaan semasa perlu dimulakan segera kerana ia merupakan jaminan perlembagaan yang tidak boleh dipadamkan selaras dengan kehendak Perkara 167(7),” katanya.
Beliau berkata, kerajaan Kedah tidak boleh dipersalahkan atas kelewatan tersebut kerana fungsi penasihatan perundangan merupakan tanggungjawab Persekutuan sejak penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1957.
Kata beliau, kelewatan hampir tujuh dekad untuk mematuhi Perkara 167(7) merupakan pelanggaran jaminan perlembagaan yang menjadi struktur asas Perlembagaan Persekutuan.
“Memandangkan jaminan Persekutuan di bawah Perkara 167(7) menyentuh kehormatan, kedudukan dan keistimewaan Sultan Kedah, tiada undang-undang boleh diluluskan tanpa terlebih dahulu mendapat perkenan Majlis Raja-Raja sebagaimana diperuntukkan di bawah Perkara 38(4),” katanya.
Pensyarah Kanan Ekonomi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad pula berkata, Kerajaan Persekutuan perlu menilai semula kadar bayaran pajakan Pulau Pinang sebanyak RM10,000 setahun dan sumbangan khas sebanyak RM10 juta setahun kepada kerajaan negeri Kedah yang dilaksanakan sejak 2018.
Beliau berkata, nilai kewangan yang diterima ketika ini adalah tidak seimbang dengan keadaan ekonomi semasa dari segi kadar kuasa beli (purchasing power), kadar inflasi semasa serta kedudukan perbelanjaan negeri pada masa kini.
Katanya, secara ringkas, nilai pajakan dan bayaran khas itu jika diambil kira dari awal sehingga era 1950-an dan 1960-an mungkin merupakan jumlah yang seimbang bagi menampung sebahagian perbelanjaan negeri Kedah pada ketika itu.
“Namun, pada era milenium ini, perbelanjaan negeri, kos barangan, kadar inflasi dan kuasa beli telah meningkat hampir melebihi 100 peratus berbanding 100 tahun dahulu.
“Bajet negeri Kedah pada masa ini juga telah mencecah sehingga RM1.3 bilion iaitu sekitar separuh berbanding jumlah perbelanjaan negeri Kedah 50 tahun terdahulu.
“Maka untuk menampung perkara ini, wajarlah sebahagian hasil negeri datang daripada nilai pajakan dan bayaran khas yang lebih setimpal mengikut keadaan ekonomi semasa,” katanya. – UTUSAN










