MANILA: Dewan Senat Filipina pada Isnin memulakan perbicaraan pemecatan Naib Presiden, Sara Duterte dengan masa depan politik beliau termasuk hasrat untuk bertanding dalam pilihan raya presiden 2028 menjadi taruhan.
Ribuan anggota polis dikerahkan di sekitar bangunan Senat bagi memperketat kawalan keselamatan ketika penyokong yang menuntut Sara disabitkan kesalahan mula berhimpun di luar bangunan itu.
Kira-kira sejam sebelum prosiding bermula, pejabat Naib Presiden memaklumkan Sara tidak hadir secara peribadi.
“Kami, sebagai peguam beliau, berada di sini untuk membuktikan segala tuduhan terhadapnya tidak berasas,” kata seorang daripada pasukan pembelaan Sara, Michael Poa.
Dalam satu kenyataan, Sara berkata, keputusan untuk diwakili peguam dan bukannya memberi keterangan secara peribadi tidak mengurangkan tanggungjawab atau menunjukkan kurangnya ketelusan.
Dewan Perwakilan memecat anak perempuan bekas Presiden, Rodrigo Duterte itu pada 11 Mei atas dakwaan penyelewengan, rasuah, sogokan serta dakwaan merancang pembunuhan terhadap bekas sekutunya yang kini Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr.
Bagaimanapun, hanya keputusan bersalah yang disokong sekurang-kurangnya dua pertiga daripada 24 anggota Senat yang berpecah kepada dua kem boleh melucutkan jawatan beliau sebagai naib presiden dan menghalangnya daripada memegang sebarang jawatan dipilih melalui pilihan raya pada masa hadapan.
Sara masih menikmati sokongan rakyat, dengan satu tinjauan pendapat yang dikeluarkan pada akhir Mei menunjukkan beliau mendahului perlumbaan menuju pilihan raya presiden 2028 apabila 51 peratus responden menyatakan hasrat untuk mengundinya.
Ancaman dibuat Sara dalam satu sidang media yang menyebut mahu mengupah seorang pembunuh upahan untuk membunuh Marcos Jr. sekiranya presiden itu bertindak membunuhnya terlebih dahulu dijangka menjadi fokus utama peringkat awal perbicaraan.
Perbicaraan boleh berlarutan selama beberapa bulan sekiranya pihak pendakwa diberikan tempoh 62 hari seperti yang diminta untuk mengemukakan bukti.
Beberapa jam sebelum perbicaraan bermula, seorang senator yang sepatutnya berperanan sebagai hakim dalam prosiding itu menjadi sekutu kedua Sara di Senat yang ditahan atas tuduhan rasuah dalam tempoh lebih sebulan. – AFP










