Pulau Pinang raih RM461.4 juta hasil pelancongan perubatan

Pulau Pinang raih RM461.4 juta hasil pelancongan perubatan

CHOW Kon Yeow (dua dari kanan) ketika merasmikan Pusat Kanser Icon Sunsuria dan Hospital Island, di George Town, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pulau Pinang terus mengukuhkan kedudukannya sebagai hab pelancongan perubatan di utara tanah air apabila berjaya menarik seramai 213,032 pesakit dari luar negara dengan pendapatan berjumlah RM461.4 juta untuk tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, pencapaian itu menggambarkan tahap kepercayaan yang tinggi daripada kalangan pesakit antarabangsa terhadap kepakaran doktor, jururawat serta pasukan kesihatan di negeri ini.

“Menerusi data yang dikumpul daripada 17 ahli PMED (Penang Centre of Medical Tourism), ia jelas menunjukkan bahawa pada tahun 2024, Pulau Pinang telah menerima 412,944 pesakit dari luar negara, dengan hasil sebanyak RM888.7 juta.

“Untuk tahun ini sahaja iaitu setakat 18 Ogos lalu, Pulau Pinang telah menarik seramai 213,032 pesakit luar negara iaitu bersamaan dengan RM461.4 juta pendapatan. Angka ini jelas menunjukkan kekuatan Pulau Pinang sebagai hab pelancongan perubatan di utara tanah air,” katanya pada majlis pelancaran rasmi Pusat Kanser Icon Sunsuria dan Hospital Island di sini, hari ini.

Menurut Kon Yeow, usaha untuk menarik lebih ramai pesakit warga asing itu juga seiring dengan pelancaran Tahun Pelancongan Perubatan Malaysia 2026 yang menyasarkan hasil sehingga RM15 bilion setahun menjelang 2030.

Katanya, pada 2024 sahaja, Malaysia menerima 1.6 juta pelancong kesihatan dengan pendapatan sebanyak RM2.72 bilion iaitu meningkat sebanyak 21 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Pulau Pinang pula mencatat pencapaian membanggakan apabila menerima 412,944 pesakit asing dengan hasil mencecah lebih RM800 juta pada tahun lalu.

“Hospital-hospital kita bukan sahaja dilengkapi teknologi terkini dan pakar berkemahiran tinggi, malah, paling penting adalah sikap pasukan perubatan yang sentiasa mengutamakan pesakit,” katanya yang memberitahu, kerajaan negeri komited memperkukuhkan sektor kesihatan awam menerusi kerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan meskipun banyak fasiliti swasta muncul ketika ini.

Dalam pada itu, katanya, kerjasama antara Hospital Island dan Icon Sunsuria bakal meluaskan perkhidmatan perubatan dengan penggandaan kapasiti serta pengenalan program baharu seperti Program Kanser Wanita dan perkhidmatan hematologi termasuk pemindahan sel stem.

“Hospital Island turut tersenarai sebagai salah satu daripada empat hospital perintis kebangsaan di bawah MYMT 2026 Flagship Medical Tourism Hospital Program.

“Usaha ini bukan sahaja mengangkat nama Pulau Pinang sebagai pusat pelancongan perubatan serantau, tetapi juga memberi sinar harapan kepada keluarga yang berdepan cabaran besar dalam melawan penyakit kanser,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN