KUALA LUMPUR: Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) bakal membariskan senarai gabungan pelumba daripada tiga pasukan bagi menyertai acara lebuh raya di Sukan SEA 2025 Thailand.
Presidennya, Datuk Amarjit Singh Gill berkata, PKBM telah mengadakan satu perbincangan bersama Terengganu Cycling Team (TSG) dan Malaysia Pro Cycling (MPC) bagi mencapai kata sepakat untuk mempertahankan pingat emas di temasya dwitahunan itu.
“PKBM dengan ini mengumumkan acara lebuh raya (Sukan SEA 2025), kita adakan kerjasama bersama pasukan MPC, TSG dan beberapa pelumba daripada skuad kebangsaan.
“Kami percaya, ini adalah kombinasi yang terbaik bagi memastikan kita dapat mempertahankan pingat yang telah kita menangi (edisi lalu). Lima pelumba TSG, dua MPC dan dua daripada skuad kebangsaan akan mewakili negara.
“Kami juga telah memutuskan untuk menghantar 28 atlet mewakili sukan berbasikal bagi acara trek, lebuh raya, berbasikal bukit dan BMX ke Sukan SEA 2025,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di sini semalam.
Terdahulu, MPC dan TSG dilaporkan tidak akan melepaskan pelumba mereka untuk mewakili negara ke temasya itu sekiranya bajet tambahan RM250,000 yang dimohon kepada Majlis Sukan Negara (MSN) tidak dipenuhi.
Ketika ditanya mengenai dana tambahan yang diterima daripada MSN, Amarjit enggan mendedahkan jumlah yang diterima oleh badan induk tersebut.
Amarjit turut berkata, skuad lebuh raya negara akan dibimbing oleh jurulatih TSG, Mohamed Saiful Anuar Aziz dan dibantu Mohd Yusof Abdul Nasir.
Sebagai rekod, Malaysia sebelum ini melakar sejarah apabila mempertahankan emas acara lebuh raya lelaki di Sukan SEA Vietnam 2021 dan Kemboja 2023. – UTUSAN