GEORGE TOWN: Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (URA) yang akan dibentangkan di Parlimen esok dilihat mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan semula kawasan perumahan lama yang semakin usang di bandar-bandar utama negara termasuk di Pulau Pinang.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, akta tersebut mengandungi peruntukan khas yang mampu menyelesaikan isu-isu teknikal berkaitan hak pemilikan selain memberi perlindungan kepada penduduk yang terlibat dengan projek pembaharuan semula bandar.
“Kalau tidak dibangunkan semula, 50 tahun (akan) menjadi 100 tahun. Bayangkan keadaan flat-flat sedemikian. Adakah anda mahu duduk dalam flat berkeluasan hanya 400 kaki persegi untuk lima puluh tahun lagi? Inilah persoalan yang perlu kita fikirkan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis Lift-Off with PSD@SKM di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan kerajaan tetap meneruskan pembentangan bacaan kali kedua RUU URA di Parlimen pada Khamis ini walaupun terdapat bantahan daripada pelbagai pihak termasuk ahli Parlimen pembangkang.
Menurut Kon Yeow, Pulau Pinang tidak melihat sebarang masalah dengan pelaksanaan RUU URA ketika ini kerana negeri itu juga sudah memulakan beberapa projek pembaharuan bandar secara berperingkat.
“Pulau Pinang sendiri pernah melaksanakan projek pembangunan semula sebelum ini tanpa sebarang akta khusus. Antaranya ialah pembangunan semula Flat Mahsuri di Bayan Baru yang membuktikan keperluan mendesak untuk mewujudkan kerangka undang-undang yang lebih mantap,” katanya.
Kon Yeow berkata, usaha pembaharuan bandar tidak boleh ditangguhkan kerana banyak kediaman lama di bandar utama tidak lagi sesuai didiami penduduk dari segi saiz, keselamatan dan keselesaan.
Katanya, dengan adanya RUU URA, proses pembangunan semula boleh dilakukan lebih teratur kerana ia hanya memerlukan persetujuan 80 peratus pemilik berbanding syarat sebelum ini yang menuntut persetujuan penuh.
“Sebelum ini, projek-projek seperti di Jalan Sungai Besi, Kuala Lumpur berjaya dilaksanakan walaupun tanpa undang-undang. Namun, dengan RUU URA, banyak rintangan boleh diatasi dan pelaksanaannya akan lebih telus,” ujarnya.
Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, pihaknya turut menolak dakwaan bahawa RUU berkenaan kononnya akan mengehadkan kuasa kerajaan negeri.
Beliau berkata, RUU URA tidak mengambil alih kuasa negeri sebaliknya memberi panduan dan perlindungan kepada pemilik hartanah di bawah sistem strata yang telah pun menjadi pemilikan individu.
“Apabila sesuatu projek itu sudah menjadi ‘strata title’, ia bukan lagi bergantung kepada siapa pemajunya. Ia tertakluk kepada kuasa pemilik, dan dalam hal ini, URA memberi perlindungan kepada hak mereka,” katanya. – UTUSAN










