PARLIMEN: Lebih 200,000 hektar kebun getah terbiar

PARLIMEN: Lebih 200,000 hektar kebun getah terbiar

RUBIAH WANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 205,209 hektar kebun getah matang dikesan tidak diusahakan di seluruh negara berdasarkan Banci Pekebun Kecil Getah (BPKG) 2023.

Timbaan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, bagi menangani masalah itu, kerajaan memperuntukan sejumlah RM32.4 jut  di bawah Program Getah Terbiar (PGT) bagi 2025. 

Katanya, ia bertujuan mengaktifkan semula kebun-kebun terbabit supaya kembali mengeluarkan hasil.

“Peruntukan ini dijangka memanfaatkan kawasan seluas 10,000 hektar serta memberi manfaat kepada 6,700 pekebun kecil.

“Di daerah Baling (secara khusus), sebanyak RM900,000 diperuntukkan kerajaan yang membabitkan keluasan 281 hektar dan 187 orang penerima manfaat,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Hassan Saad (PN-Baling) mengenai usaha kementerian dalam mengenal pasti dan menyusun semula lot kebun getah terbiar milik pekebun kecil yang tidak lagi produktif.

Mengenai soalan berkaitan pendekatan integrasi tanaman kontan atau agrokomoditi lain dimanfaatkan untuk meningkatkan pendapatan pekebun, Rubiah berkata beberapa mekanisme termasuk program Agromakanan diperkenalkan Risda bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil seliaan agensi itu.

Katanya, ini termasuk khidmat nasihat, bantuan peralatan dan sistem penanaman, selain Risda turut memastikan pilihan jenis tanaman kontan dengan nilai pasaran tinggi.

“Risda juga menjalin kerjasama dengan agensi pemasaran seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), selain memasarkan hasil tanaman bagi pasaran domestik terutama bagi tanaman serai dan sebagainya.

“Ada juga sebahagian tanaman ini diproses untuk menjadi produk hiliran yang boleh dijual bagi meningkatkan pendapatan (pekebun kecil getah seliaan Risda). Ia bukan sahaja dijual secara bahan mentah, tetapi diproses menjadi makanan tambahan lain.

“Dari segi pemasaran, Risda mempunyai sistem untuk membantu pekebun (kecil getah) untuk memasarkan produk dihasilkan,” katanya.

Rubiah berkata, selain program Agromakanan, Risda turut memproses hasil tanaman kontan menjadi produk hiliran untuk dipasarkan secara lebih meluas, menggunakan sistem pemasaran agensi berkenaan.

Beliau berkata, Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) juga diperkenalkan Risda bagi membolehkan usahawan memasarkan produk melalui program khas kementerian, tetapi turut dijual atau dipasarkan secara dalam talian.

Tambahnya lagi, Risda juga baru-baru ini, menubuhkan RISSMART membabitkan lebih 20 cawangan di seluruh negara, selain menjalin kerjasama dengan Plus bagi memasarkan produk dan tanaman kontan pekebun kecil agensi itu.

“Risda dalam usaha memperkenalkan agromakanan, kebanyakan (mekanisme pelaksanaan) menggunakan teknologi moden seperti teknologi internet kebendaan (IoT) dan fertigasi yang digunakan secara meluas.

“Kita nampak melalui program tanaman secara teknologi, hasilnya lebih baik dan banyak. Selain cili, antara tanaman menjadi pilihan petani ialah nanas varieti MD2 yang memberi pendapatan baik kepada pekebun Risda,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN