Pusat pengajian agama khusus untuk warga emas perlu diperbanyakkan bagi menyediakan ruang kepada golongan berusia mendalami ilmu fardu ain dan memperbaiki ibadah pada penghujung hayat mereka.
Menurut Mudir Pondok Ilmu Seri Mahkota, Mohd. Khairul Hafizan Ne’ Mat, 35, pembinaan institusi tahfiz untuk kanak-kanak kini tumbuh bak cendawan selepas hujan, namun pusat pengajian warga emas masih terlalu terhad.
“Di Kuantan, pondok tahfiz ada banyak, tetapi pusat pengajian untuk orang tua boleh dikira dengan jari. Ramai golongan pencen sebenarnya mencari tempat belajar kerana mereka mahu manfaatkan masa dengan ilmu, bukan sekadar menghabiskan usia di kedai kopi.
“Budaya menimba ilmu ini sepatutnya merangkumi semua lapisan masyarakat, bukan terhenti pada pelajar sekolah. Nabi SAW menekankan menuntut ilmu itu wajib sehingga akhir hayat,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini.
Mohd. Khairul Hafizan Ne’ Mat
Umur: 35 tahun
Asal: Cenderawasih, Kuantan
Jawatan:
• Mudir Pondok Ilmu Seri Mahkota,
• Imam Masjid Al-Mustaqim, Seri Mahkota
• Guru Takmir di Agensi Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN), Gambang
Pendidikan:
• Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Kuasa Industri) Universiti Teknologi Melaka (UTEM)
• Pengajian Bahasa Arab, Open University of Sudan (2 tahun)
• Maahad al-Mustofa, Batang Kali
Mohd. Khairul Hafizan berkata, keperluan itu semakin mendesak kerana ramai warga emas kini mencari kelas mengaji atau fardu ain di kawasan sekitar, namun hanya bergantung kepada kuliah ringkas selepas solat Maghrib dan Isyak di masjid serta surau.
“Masalahnya, ada yang sudah berusia, penglihatan tidak begitu baik dan sukar memandu jauh. Jadi, mereka perlukan pusat pengajian lebih dekat serta sesuai dengan keadaan mereka,” jelasnya.
Beliau menambah, ada warga emas yang langsung tidak mengenal huruf pada awalnya, namun dengan kesungguhan dan bimbingan akhirnya mampu membaca al-Quran walaupun perlahan.
Katanya, keadaan itu menunjukkan keazaman warga emas untuk menuntut ilmu masih tinggi biarpun usia semakin lanjut.
“Kadang-kadang mereka malu sebab baru mahu belajar, sedangkan Nabi SAW sudah berpesan bahawa orang yang malu dan orang yang sombong tidak akan memperoleh ilmu.
“Biar malu sekejap, asalkan akhirnya dapat manfaat sepanjang hayat. Ramai sebenarnya dalam kalangan warga emas yang masih bersemangat untuk belajar,” ujarnya.
Beliau menegaskan, pembinaan lebih banyak pusat pengajian untuk warga emas penting demi memastikan mereka tidak tersisih daripada arus pendidikan agama.
Katanya, usaha memperbanyakkan pusat pengajian sebegitu dapat menghidupkan budaya ilmu dan membina masyarakat berakhlak yang harmoni berasaskan ilmu.
Mohd. Khairul Hafizan turut mencadangkan agar pihak berkuasa tempatan dan institusi agama bekerjasama menyediakan insentif khas kepada pengusaha pusat pengajian warga emas, termasuk bantuan kewangan, tenaga pengajar dan kemudahan prasarana.
Katanya, sokongan berstruktur ini mampu mempercepatkan penubuhan lebih banyak pusat pengajian dan menarik minat golongan berusia untuk menyertai program pembelajaran secara konsisten.
“Bukan semua warga emas mampu membayar yuran bulanan atau membeli bahan pembelajaran. Jika ada sokongan dari zakat, wakaf atau dana khas, kita boleh pastikan tiada yang tercicir hanya kerana kekangan kewangan,” katanya.
Beliau juga menekankan kepentingan pendekatan pedagogi yang sesuai dengan keperluan warga emas, termasuk kaedah pengajaran yang lebih perlahan, penggunaan bahan bantu visual bersaiz besar, serta suasana pembelajaran yang santai dan tidak menekan.
Menurutnya, pendekatan ini bukan sahaja meningkatkan kefahaman tetapi juga membina keyakinan diri dalam kalangan pelajar warga emas.
“Ilmu bukan sekadar hafalan, tetapi pemahaman dan penghayatan. Bila mereka faham, mereka akan amalkan. Dan bila diamalkan, ia menjadi bekalan akhirat yang paling berharga,” ujarnya sambil menambah bahawa pendidikan agama untuk warga emas adalah pelaburan sosial yang memberi pulangan rohani kepada seluruh masyarakat. – UTUSAN










