PARLIMEN: PN minta RUU Perolehan Kerajaan 2025 dirujuk ke jawatankuasa  

PARLIMEN: PN minta RUU Perolehan Kerajaan 2025 dirujuk ke jawatankuasa  

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) mendakwa Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan 2025 memberi kuasa terlalu besar kepada Menteri Kewangan termasuk membolehkan pengecualian daripada kaedah perolehan terbuka serta kuasa melantik pegawai penguatkuasa dengan keupayaan menggeledah tanpa waran.

Datuk Dr. Radzi Jidin (PN-Putrajaya) berkata, beberapa seksyen dalam RUU itu jelas memperlihatkan ruang kuasa yang luas sehingga berisiko disalahgunakan.

“Kalau kita teliti, terlalu banyak perkara dalam RUU ini yang memerlukan penelitian mendalam. Sebagai contoh, Seksyen 28 menetapkan kaedah perolehan terbuka sebagai prinsip utama, tetapi pada masa sama memberi kuasa kepada Menteri untuk menetapkan kaedah lain.

“Begitu juga Seksyen 29 yang membolehkan Menteri atau Menteri Besar menggunakan apa-apa dasar atau langkah perolehan atas alasan kepentingan negara atau negeri. 

“Malah, Seksyen 2 turut memberi kuasa kepada Menteri mengecualikan mana-mana peruntukan akta ini untuk pemberian dana sekaligus (one-off grant) tanpa had yang jelas,” katanya dalam sidang media di Bangunan Parlimen, hari ini.

Radzi turut melahirkan rasa kesal kerana Ahli Parlimen PN tidak diberi sebarang taklimat rasmi mengenai RUU tersebut walaupun ia mempunyai implikasi besar terhadap sistem perolehan kerajaan.

“Kerajaan tidak sepatutnya terburu-buru. RUU sebesar ini seharusnya dirujuk terlebih dahulu ke jawatankuasa supaya kita boleh memanggil pemegang taruh dan mendapatkan pandangan untuk menambah baiknya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan menggesa kerajaan menangguhkan bacaan kali kedua RUU tersebut hari ini dan sebaliknya merujuknya terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Kewangan dan Ekonomi Parlimen.

“RUU ini melibatkan hampir 100 seksyen dengan pelbagai peruntukan baharu. Adalah wajar ia diperhalusi terlebih dahulu di peringkat jawatankuasa sebelum dibawa untuk perbahasan di Dewan Rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN