PARLIMEN: Pindaan Akta Persaingan 2010 kini di peringkat akhir

PARLIMEN: Pindaan Akta Persaingan 2010 kini di peringkat akhir

ARMIZAN MOHD. ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan kini berada di peringkat akhir untuk meminda Akta Persaingan 2010 (Akta 712) sebagai langkah untuk membendung aktiviti kartel dalam pasaran dan dijangka dibentangkan di Parlimen menjelang akhir tahun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, cadangan pindaan tersebut bertujuan menyediakan rangka perundangan persaingan lebih menyeluruh dan berkesan.

Katanya, semua industri termasuk komunikasi dan multimedia, penerbangan awam serta tenaga akan dikawal selia di bawah satu perundangan persaingan khusus.

“Hala tuju Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) adalah untuk memusatkan kawal selia isu persaingan di bawah satu perundangan yang khusus. Langkah ini akan melibatkan pindaan Akta 712 serta perundangan lain yang berkaitan.

“Merujuk tindakan terkini Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), pindaan ini akan menambahbaik kuasa penyiasatan dan penguatkuasaan,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan Rakyat hari ini.

Armizan berkata, pindaan itu turut memperkenalkan rejim kawalan percantuman yang membolehkan kerajaan menghalang pembentukan kartel atau monopoli dari awal. 

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) juga mengambil maklum cadangan penambahbaikan supaya pengesanan dan siasatan terhadap unsur kartel serta pakatan bida dilaksanakan sebelum proses perolehan dimuktamadkan.

“Di bawah Akta 712, MyCC diberi tugas memulakan penyiasatan melalui empat kaedah termasuk berdasarkan maklumat serta aduan daripada orang awam, agensi kerajaan dan pihak industri.

“Semasa penyiasatan dijalankan, MyCC tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan kementerian atau agensi kerajaan mengeluarkan atau mengecualikan mana-mana pembida daripada proses penapisan dan pemilihan pembekal atau kontraktor bagi sesuatu tender kerana mereka masih belum dibuktikan melanggar Akta 712,” katanya.

Bagaimanapun, kementerian dan agensi kerajaan boleh mengambil tindakan sewajarnya terhadap syarikat yang telah disabitkan melanggar undang-undang persaingan.

Kata beliau, berdasarkan rekod penguatkuasaan, MyCC telah mengeluarkan beberapa keputusan pelanggaran di bawah Seksyen 40 Akta 712 melibatkan 270 perusahaan. 

“Daripada jumlah itu, 268 perusahaan terlibat dalam aktiviti kartel manakala dua lagi menyalahgunakan kedudukan monopoli mereka. 

“Selain itu, 26 perusahaan terbukti melanggar Seksyen 4 Akta 712 kerana terlibat dalam aktiviti kartel tipuan bida dan dikenakan penalti kewangan berjumlah RM97.71 juta,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN