KUALA LUMPUR: Kerajaan disyor menaikkan cukai cecair vape berdasarkan kandungan nikotin serta menetapkan harga lantai lebih tinggi terhadap semua produk e-rokok bagi memperkasa usaha mencegah tabiat merokok dalam kalangan remaja khususnya pelajar sekolah.
Cukai vape yang kini ditetapkan pada kadar RM0.40 per mililiter (ml) dianggap terlalu rendah berbanding cukai dikenakan terhadap produk tembakau iaitu rokok di pasaran.
Datuk Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) berkata, kadar cukai dikenakan ke atas produk vape sangat rendah iaitu RM0.40 per mililiter (ml) berbanding RM0.80 yang dikenakan ke atas rokok sedangkan jumlah nikotinnya hampir sama.
“Hari ini, cukai dikenakan kepada vape adalah 40 sen per ml, maknanya 80 sen kalau dua ml. Kalau dua ml, maknanya sama kandungan nikotinnya dengan satu kotak rokok.
“Satu kotak rokok, cukainya RM8. Kenapa satu 80 sen, satu lagi RM8. Ini jurang yang amat besar. Patutnya cukai ini dikenakan berdasarkan kandungan nikotin yang dipadankan sepatutnya dengan nilai cukai yang dikenakan terhadap rokok,” katanya pada sesi penerangan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP) mengenai kesihatan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata, kenaikan kadar cukai vape atau rokok elektronik itu boleh diumumkan segera termasuk ketika pembentangan Belanjawan 2026 bulan depan.
Wan Saiful berkata, kenaikan cukai ke atas vape dan rokok juga perlu dibuat secara berkala sebagai langkah pencegahan awal mengenal pasti mereka menghisap vape dan rokok di samping bukti ketegasan kerajaan mengawal penggunaan vape.
“Patut jalankan secara berkala, setiap tahun naik dua, tiga, empat peratus, atau setiap dua tahun, akan naik. Maka rakyat akan tahu dalam tempoh 10 tahun ini, harga vape dan rokok akan naik dan ini boleh mencegah permulaan mereka menghisap vape.
“Tidak ada juga harga minimum dikenakan kepada vape. Rokok saya tak pasti, tapi dengarnya RM12. Kalau rokok boleh RM12, kenapa vape boleh dijual lebih murah dari itu, di kawasan saya cikgu datang bagitahu masalah utamanya kini adalah penggunaan vape dalam kalangan murid sekolah,” katanya.
Sementara itu, Yuneswaran Ramaraj (PH-Segamat) berkata, pembuangan latium dari bateri vape memberi kesan terhadap alam sekitar dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang.
Beliau juga berkata, apabila sudah ada usaha pengharaman ke atas vape, maka perlu ada tindakan untuk mengetatkan persempadanan supaya tidak berlaku penyeludupan barangan dan produk berkenaan.
“Kena rancang sekarang bukan selepas tiga atau empat bulan (pengharaman dilaksanakan). Jadi saya setuju dengan syor jawatankuasa supaya kita perlu ada pelan tindakan tegas mengharamkan vape tanpa perbincangan apa-apa.
“Beri keutamaan kepada rakyat yang lebih sihat dan pada masa sama kita boleh kurangkan bebanan kewangan yang kita letakkan kepada KKM,” katanya.
Terdahulu, Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang juga pengerusi JPKP mengenai kesihatan ketika membentangkan penyata pengharaman rokok elektronik mengemukakan tujuh syor termasuk menggesa kerajaan mewartakan penggunaan rokok elektronik secara jelas melalui undang-undang baharu bagi menutup kelompongan peraturan yang membolehkan penjualan vape tidak terkawal.
“Sebagai langkah jangka panjang, kerajaan perlu mempertimbangkan larangan menyeluruh terhadap penggunaan vape sebagai langkah tepat dalam menangani isu kesihatan awam yang semakin membimbangkan,” katanya. – UTUSAN










