PARLIMEN: 23,515 unit rumah bernilai RM15 bilion tidak terjual

PARLIMEN: 23,515 unit rumah bernilai RM15 bilion tidak terjual

NGA KOR MING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jumlah rumah siap dibina tetapi masih belum terjual (overhang) terus menjadi isu yang membelenggu pasaran hartanah negara apabila sebanyak 23,515 unit bernilai RM15 bilion direkodkan pada suku pertama 2025.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, angka tersebut berdasarkan laporan awalan dikeluarkan Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) yang menunjukkan keadaan pasaran lebih baik berbanding tempoh sama tahun lalu, dengan penurunan 2.9 peratus dari segi bilangan unit dan 9.0 peratus membabitkan segi nilai.

“Bagi tempoh 2022 hingga 2024, jumlah rumah overhang mencatatkan trend menurun iaitu daripada 27,746 unit pada 2022, 25,816 unit (2023) dan 23,149 unit (2024) sebelum meningkat semula kepada 23,515 unit pada suku pertama 2025,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Dr. Wan Martina Wan Yusoff mengenai jumlah rumah overhang mengikut kategori harga dan lokasi bagi tahun 2022 hingga 2025 serta pendekatan kerajaan dalam menangani isu lebihan bekalan rumah agar tidak menjejaskan keseimbangan pasaran hartanah negara.

Johor kekal merekodkan jumlah tertinggi rumah tidak terjual dengan 5,258 unit pada 2022, diikuti 4,228 unit (2023), 2,964 unit (2024) dan 3,034 unit pada suku pertama 2025.

Negeri lain yang turut mencatatkan jumlah tinggi ialah Selangor (3,698 unit pada 2022 dan 2,068 unit pada 2025 Q1) serta Pulau Pinang (3,593 unit pada 2022 dan 2,729 unit pada suku pertama 2025).

Kuala Lumpur pula menunjukkan peningkatan ketara apabila rumah tidak terjual naik daripada 3,429 unit pada 2022 kepada 4,234 unit pada 2024, sebelum sedikit menurun kepada 3,668 unit pada suku pertama 2025.

Manakala Sabah dan Sarawak masing-masing merekodkan 2,054 unit dan 1,500 unit pada suku pertama 2025.

Dari segi harga, rumah berharga kurang RM300,000 mencatatkan jumlah paling tinggi dengan 7,135 unit tidak terjual pada suku pertama 2025, manakala kategori RM300,001 hingga RM500,000 pula sebanyak 6,813 unit.

Sementara itu, rumah dalam lingkungan RM500,001 hingga RM700,000 melonjak kepada 4,738 unit (suku pertama 2025), sedangkan rumah berharga RM700,001 hingga RM1 juta turun kepada hanya 1,975 unit.

Meskipun unit rumah melebihi RM1 juta berkurangan daripada 3,786 unit pada 2022 kepada 2,854 unit pada suku pertama 2025, namun nilainya masih tinggi iaitu sekitar RM6.3 bilion.

Secara keseluruhan, nilai rumah siap dibina tetapi belum terjual di Malaysia direkodkan RM18.41 bilion pada 2022, menurun kepada RM13.93 bilion pada 2024, sebelum kembali meningkat kepada RM15 bilion pada suku pertama 2025.

Kor Ming berkata, analisis menunjukkan negeri seperti Johor, Perak, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Selangor mencatatkan pengurangan dalam jumlah rumah overhang bagi tempoh 2022 hingga 2023, manakala kategori harga RM500,000 hingga lebih RM1 juta juga menunjukkan trend menurun.

“Ia jelas membuktikan wujud kesenjangan antara permintaan dan penawaran rumah dalam pasaran. Keadaan ini berlaku apabila projek perumahan yang dibangunkan tidak menepati keperluan sebenar penduduk dari aspek kuantiti, kualiti dan harga berbanding tahap pendapatan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN