Setiap kali berlaku insiden melibatkan pengangkutan awam, persoalan yang sama pasti timbul dalam kalangan masyarakat. Adakah sistem pengangkutan awam negara kita semakin uzur? Atau sebenarnya kemudahan yang ada sedang berdepan tekanan luar biasa akibat peningkatan jumlah pengguna?
Beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan beberapa kejadian yang mengundang kebimbangan. Bermula dengan insiden tren LRT bertembung sehingga mengakibatkan ratusan penumpang cedera, diikuti beberapa gangguan teknikal yang menyebabkan perjalanan tergendala, dan terbaru letupan kecil di Laluan Kelana Jaya yang berpunca daripada dawai halus tersangkut pada landasan.
Walaupun pihak berkuasa menjelaskan punca kejadian bukan disebabkan kegagalan sistem tren, persepsi awam tetap terkesan. Bagi penumpang, apa yang paling penting ialah mereka mahu sampai ke destinasi dengan selamat.
Pengangkutan awam hari ini bukan lagi sekadar pilihan, sebaliknya sudah menjadi nadi kehidupan warga kota.
Dengan kesesakan jalan raya yang semakin parah serta kos memiliki dan menyelenggara kenderaan terus meningkat, lebih ramai memilih menggunakan LRT, MRT, monorel, KTM Komuter dan bas untuk menguruskan urusan harian.
Pertambahan pengguna ini sememangnya petanda positif. Ia menunjukkan masyarakat semakin yakin untuk beralih kepada pengangkutan awam sekali gus membantu mengurangkan kesesakan dan pencemaran alam sekitar.
Namun, peningkatan jumlah penumpang juga bermaksud sistem sedia ada perlu bekerja lebih keras berbanding sedekad lalu.
Justeru, penyelenggaraan tidak boleh lagi dilakukan sekadar mengikut jadual rutin. Ia perlu bersifat proaktif, menyeluruh dan mengambil kira peningkatan beban penggunaan. Setiap komponen, daripada landasan, sistem isyarat, bekalan elektrik hinggalah gerabak, perlu dipantau secara berkala menggunakan teknologi terkini agar sebarang kerosakan dapat dikesan lebih awal sebelum menjadi insiden yang mengancam keselamatan.
Komunikasi kepada orang ramai juga tidak boleh dipandang ringan. Setiap kali berlaku gangguan, pengguna mengharapkan penjelasan yang pantas, telus dan mudah difahami.
Mungkin tidak adil untuk terus melabel pengangkutan awam kita sebagai uzur hanya berdasarkan beberapa insiden.
Namun, tidak wajar juga setiap kejadian dianggap terpencil tanpa usaha penambahbaikan yang berterusan.
Adlinahani Khalil ialah Pengarang Berita Gaya Utusan Malaysia.










