Penyokong BN diharap dapat beri undi kepada calon Pas - Utusan Malaysia

Penyokong BN diharap dapat beri undi kepada calon Pas

TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Penyokong Barisan Nasional (BN) diharap dapat memberikan sokongan dan undi kepada calon Pas di 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) ditandingi parti itu dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia sebagai timbal balas arahan kepada semua ahli dan penyokong parti itu untuk mengundi calon UMNO-BN bagi kerusi yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN).

“Formula kalahkah Pakatan Harapan (PH) di Johor adalah ahli BN mengundi Pas di 11 DUN di mana Pas bertanding manakala ahli Pas mengundi BN di 23 DUN PN tidak bertanding.

“Apa salahnya di 11 DUN Pas bertanding, rakan-rakan kita yang lain (BN) beri undi kepada Pas untuk kami mewakili PN dalam konteks menjadi semak imbang terbaik. Paling penting bagi mengelak PH memenangi PRN Johor,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Baru-baru ini, Pas menggesa pengundinya tidak memberikan undi kepada calon PH pada PRN Johor termasuk di kerusi yang menyaksikan pertandingan antara BN dan PH.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, ketetapan itu antara lima resolusi diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat.

Untuk rekod, PN hanya bertanding di 33 kerusi DUN daripada keseluruhan 56 kerusi yang dipertandingkan pada PRN Johor.

Daripada jumlah itu, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertanding di 16 kerusi, Pas (11 kerusi), Parti Rakyat India Malaysia (lima kerusi) dan Parti Pejuang Tanah Air (satu kerusi).

Tuan Ibrahim berkata, sudah tiba masanya penyatuan ummah digerakkan di Johor dan diterjemahkan melalui bentuk sokongan dan undi semasa PRN.

“Sebagai pengundi bertanggungjawab, kita bukan suka-suka memilih pemimpin, mesti fikir implikasinya dalam tempoh lima tahun akan datang.

“Pilihlah calon yang benar-benar berakhlak mulia, berintegriti, dan latar belakangnya bersama rakyat ketika susah dan senang,” katanya.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN