PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) masing-masing menyatakan keyakinan mampu memperoleh sokongan mencukupi untuk membentuk kerajaan negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 11 Julai ini.
Kedua-dua gabungan itu percaya momentum kempen serta sambutan pengundi sepanjang tempoh berkempen akan diterjemahkan kepada kemenangan sekali gus membolehkan mereka mentadbir negeri.
Perikatan Nasional (PN) pula hanya menghantar calon di 33 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) namun gabungan itu terbuka untuk bekerjasama membentuk kerajaan dengan mana-mana parti sekiranya DUN tergantung.
Timbalan Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, BN mampu menang sekurang-kurangnya 45 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan merangkumi 40 kerusi dimenangi pada PRN 2022 dan beberapa kerusi pembangkang.
Katanya, keyakinan BN untuk memperoleh sekurang-kurangnya 45 kerusi DUN turut mengambil kira situasi hubungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Pas.
“Penyokong Pas di 11 kerusi yang tidak ditandingi parti itu diyakini akan menyokong BN. Selain itu, di 16 kerusi DUN yang ditandingi Bersatu, saya melihat penyokong Pas lebih cenderung menyokong BN atau mungkin memilih untuk tidak keluar mengundi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan berkata, pihaknya meramalkan memenangi sekurang-kurangnya 32 kerusi DUN kali ini dan berupaya menubuhkan kerajaan negeri baharu susulan sokongan diterima daripada rakyat pelbagai latar belakang di negeri ini.
Katanya, pihaknya justeru itu tidak memerlukan kerjasama mana-mana parti politik lain dalam menubuhkan kerajaan negeri selepas 11 Julai depan.
Katanya, rakyat telah menunjukkan mereka mahu perubahan positif dibawa ke Johor seperti yang sedang dilakukan kerajaan Persekutuan bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Sokongan rakyat bersama kami, kami yakin mampu capai matlamat tubuh kerajaan negeri,” katanya.-UTUSAN.










