SEGAMAT: Satu lagi gegaran gempa bumi lemah berukuran 3.2 magnitud direkodkan pada pukul 8.59 pagi tadi, menjadikan ia kejadian ketiga berlaku di daerah ini sejak Ahad lalu.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan, gegaran berpusat kira-kira 18 kilometer (km) selatan Segamat pada kedalaman 10 km.
“Gegaran dirasai di beberapa kawasan Johor dan selatan Pahang. MetMalaysia akan terus memantau perkembangan ini,” jelas kenyataan itu.
Pada Ahad, daerah ini digegarkan gempa bumi berukuran 4.1 magnitud pada 6.13 pagi, disusuli satu lagi gegaran 2.9 magnitud kira-kira tiga jam kemudian.
Selain itu, satu lagi gegaran berukuran 2.8 magnitud turut direkodkan di Yong Peng pada hari sama.
MetMalaysia menegaskan gegaran yang berlaku setakat ini adalah lemah dan tidak menimbulkan ancaman serius, namun orang ramai diminta sentiasa berwaspada.
Orang ramai juga diingatkan mendapatkan maklumat sahih mengenai cuaca dan gempa bumi melalui laman web rasmi, aplikasi mudah alih MyCuaca, media sosial jabatan itu atau menghubungi talian Hotline 1300-22-1638 untuk pertanyaan lanjut. – UTUSAN








