Melengahkan RUU Pekerja Gig umpama khianat

Melengahkan RUU Pekerja Gig umpama khianat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gabungan eHailing Malaysia (GEM) menggesa agar pihak yang didakwa cuba melengahkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 khususnya dalam kalangan ahli politik tidak berbuat demikian semata-mata untuk mengekalkan status quo.

Ketua Aktivis GEM, Jose Rizal berkata, mana-mana percubaan menghalang atau melemahkan perjuangan tersebut dianggap sebagai pengkhianatan kepada 1.2 juta pekerja gig di seluruh negara yang bergantung hidup kepada sektor berkenaan.

“Kepada mereka, jangan jadi pengkhianat kepada pekerja gig. Setiap percubaan untuk melemahkan perjuangan ini hanya akan menyalakan lagi api solidariti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jose berkata, pembentangan RUU itu merupakan detik bersejarah kerana ia bukan sahaja mengiktiraf secara rasmi pekerja gig, malah berfungsi sebagai perisai terhadap ketidakadilan seperti pendapatan tidak stabil, ketiadaan jaminan sosial dan eksploitasi oleh pihak berkepentingan.

“RUU Pekerja Gig 2025 bukan sekadar undang-undang, ia adalah benteng yang melindungi pekerja daripada eksploitasi moden. 

“Menolak RUU ini sama seperti menggadai maruah rakyat yang berkorban setiap hari untuk menggerakkan ekonomi,” katanya.

GEM turut menggesa seluruh rakyat Malaysia sama ada pekerja gig atau tidak berdiri bersama menyokong kelulusan RUU tersebut yang dilihat sebagai tonggak pembaharuan sistem pekerjaan negara ke arah yang lebih adil dan berperikemanusiaan.

“Pada masa sama, GEM merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Menteri Sumber Manusia serta semua pihak yang terlibat merangka dasar berkenaan yang dianggap membuktikan keberanian politik dalam melaksanakan reformasi sebenar.

“Dengan kelulusan RUU ini, Malaysia berpeluang keluar daripada belenggu ekonomi gig yang rapuh, menuju ke arah ekosistem pekerjaan yang lebih adil, bermaruah dan mampan,” katanya.

RUU Pekerja Gig 2025 dijangka dibentangkan di Parlimen minggu hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×