PETALING JAYA: Kerajaan dicadang menubuhkan Kumpulan Wang Simpanan Penggiat Gig (KWSPG) dalam usaha menangani isu ketiadaan perlindungan persaraan formal kepada kira-kira satu juta pekerja sektor berkenaan.
Ketua Aktivis Gabungan eHailing Malaysia (GEM), Jose Rizal berkata, isu ketiadaan sistem perlindungan formal terhadap pekerja di sektor gig ekonomi bukan baharu sebaliknya sudah banyak kali dibangkitkan.
Katanya, isu itu turut menjadi kebimbangan pekerja sektor gig namun sehingga kini masih tiada jawapan.
“Satu solusi progresif adalah Malaysia perlu berani mencipta model baharu iaitu menubuhkan Kumpulan Wang Simpanan Penggiat Gig, sebagai institusi khusus bagi simpanan persaraan sektor gig.
“Cadangan kami meliputi caruman mandatori dua hala membabitkan syarikat platform dan pekerja gig. Insentif padanan kerajaan, terutama untuk golongan B40. Pemantauan berterusan oleh Majlis Tetap Ekonomi Gig Malaysia bagi menjamin ketelusan dan pelaksanaan sebenar, bukan sekadar dasar atas kertas,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Semalam, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Ahmad Zulqarnain Onn mendedahkan kira-kira 40 peratus tenaga kerja Malaysia masih tidak mempunyai perlindungan persaraan formal.
Beliau berkata, golongan tersebut merangkumi pekerja ekonomi gig seperti penghantar makanan, pemandu e-hailing, individu bekerja sendiri dan mereka dalam pekerjaan tidak konvensional.
Katanya, fenomena ini menunjukkan jurang besar dalam sistem perlindungan sosial negara dan berpotensi menjadi risiko sosial yang serius jika tidak ditangani segera.
Mengulas lanjut, Jose berkata, kerajaan perlu memilih sama ada untuk membina sistem yang inklusif atau membiarkan jutaan pekerja gig terperangkap dalam kitaran kemiskinan ketika usia persaraan.
Katanya, dalam dunia sebenar, lebih sejuta rakyat kini bergantung kepada ekonomi gig tanpa caruman wajib, skim persaraan dan keterjaminan kebajikan mereka.
“Statistik KWSP mendedahkan lebih separuh pencarum mempunyai simpanan di bawah RM10,000. Bayangkan mereka yang langsung tidak mencarum? Keadaan dalam kalangan pekerja gig amat membimbangkan.
“Ramai beroperasi secara harian, bergantung kepada aplikasi, mengejar insentif mingguan tanpa ada ruang, masa atau pengetahuan untuk membina simpanan masa hadapan,” katanya. – UTUSAN










