Insurans tambahan tidak adil kepada pemandu e-hailing - GEM

Insurans tambahan tidak adil kepada pemandu e-hailing – GEM

GABUNGAN e-Hailing Malaysia (GEM) menggesa penilaian menyeluruh terhadap mekanisme pelaksanaan insurans tambahan e-hailing yang didakwa tidak adil dan kurang mampan kepada komuniti pemandu. GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Gabungan e-Hailing Malaysia (GEM) menggesa penilaian menyeluruh terhadap mekanisme pelaksanaan insurans tambahan e-hailing yang didakwa tidak adil dan kurang mampan kepada komuniti pemandu.

Ketua Aktivis GEM, Jose Rizal berkata, struktur insurans sedia ada dilihat semakin membebankan pemandu kerana kos perlindungan tambahan dikenakan tanpa mengambil kira corak operasi sebenar sama ada secara sepenuh masa atau sambilan.

Menurut beliau, mekanisme pelaksanaan insurans tambahan kepada pemandu e-hailing ketika ini juga tidak lagi relevan dengan realiti ekonomi gig moden yang lebih fleksibel dan pelbagai bentuk operasi.

“Hari ini, ramai pemandu terpaksa menanggung premium tambahan yang semakin meningkat. Bagi pemandu sepenuh masa, ini sudah cukup membebankan, namun bagi pemandu separuh masa, keadaannya lebih tidak seimbang.

“Bayangkan pemandu yang hanya memandu pada hujung minggu atau beberapa jam sahaja, tetapi dibebankan dengan kos tahunan yang direka seolah-olah mereka memandu secara komersial sepenuh masa. Ini adalah satu ketidakadilan ekonomi yang nyata,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Jose, sekiranya kos tetap ini terus meningkat, ia mewujudkan risiko pemandu memilih untuk tidak memperbaharui perlindungan insurans, sekali gus meningkatkan risiko sistemik terhadap industri secara keseluruhan.

“Apabila sesetengah platform mempunyai akses kepada model perlindungan yang lebih fleksibel, sementara yang lain tidak, maka ia mewujudkan ketidakseimbangan dalam pasaran,” katanya.

Katanya lagi, situasi itu akan menyebabkan pemandu terpaksa terikat dengan platform tertentu hanya kerana kekangan struktur insurans, bukan berdasarkan kualiti perkhidmatan.

“Jika sesuatu perlindungan diwujudkan kerana operasi komersial yang menjana keuntungan kepada platform, maka kos tersebut tidak boleh diletakkan di bahu pemandu semata-mata.

“Ini yang dimaksudkan dengan co-contribution model, platform mendapat manfaat ekonomi daripada pemandu manakala pemandu menyediakan tenaga kerja serta menanggung risiko operasi,” katanya.

Jelas Jose, pendekatan itu bukan suatu yang radikal bahkan ia adalah suatu prinsip yang matang selari dengan perkembangan global dalam tadbir urus ekonomi gig.

Dalam pada itu, Jose turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang mengadakan libat urus berterusan bersama Bank Negara Malaysia (BNM) bagi membincangkan beberapa reformasi utama.

Antara cadangan yang diketengahkan adalah akses insurans harian yang lebih meluas, mekanisme kelulusan yang telus untuk semua operator, kebolehgunaan perlindungan merentas platform, serta pembangunan model perkongsian kos antara platform dan pemandu.

“Ini bukan sekadar soal insurans, tetapi soal bagaimana Malaysia mahu mentadbir masa depan ekonomi digitalnya.

“GEM akan terus berdiri teguh memperjuangkan tiga prinsip asas iaitu keadilan untuk pemandu, akauntabiliti untuk platform dan kelestarian jangka panjang untuk industri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN