Pemandu e-hailing separuh masa mahu syarat kuota tambahan BUDI95 disemak semula

Pemandu e-hailing separuh masa mahu syarat kuota tambahan BUDI95 disemak semula

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan wajar mempertimbangkan semula syarat kelayakan kuota tambahan Budi Madani RON95 (BUDI95) bagi pemandu e-hailing separuh masa dengan mengambil kira realiti operasi sebenar di lapangan.

Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (PENGHANTAR) berkata, pemandu e-hailing separuh masa yang aktif sekurang-kurangnya empat hari seminggu dengan jarak perjalanan minimum 500 kilometer sebulan wajar dipertimbangkan untuk menikmati sokongan tambahan bersasar.

Katanya, langkah itu selari dengan peranan pemandu e-hailing sebagai antara penyumbang penting kepada ekosistem pengangkutan awam negara.

“Ketika ini semua pemandu e-hailing separuh masa bergantung sepenuhnya kepada kuota 200 liter yang diterima secara umum oleh rakyat Malaysia yang layak.

“Sebahagian besar pemandu e-hailing separuh masa masih berdepan tekanan kos operasi termasuk peningkatan kos penyelenggaraan kenderaan, insurans e-hailing dan penggunaan bahan api harian.

“Pendekatan yang lebih fleksibel dan bersasar, memastikan kesinambungan penyertaan pemandu dalam sektor mobiliti digital serta memperkukuhkan sokongan kepada sistem pengangkutan awam negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

PENGHANTAR turut menyatakan sokongan terhadap sebarang inisiatif bagi memperkukuhkan kecekapan mobiliti bandar, mengurangkan kesesakan jalan raya serta meningkatkan kelancaran perjalanan harian.

Katanya, ia juga dilihat mampu memberi nilai tambah kepada pengguna dan rakan pemandu e-hailing melalui penggunaan teknologi yang lebih pintar, tersusun dan efektif.

“PENGHANTAR menyambut baik pendirian Kementerian Pengangkutan yang menggalakkan pembangunan penyelesaian mobiliti di Kuala Lumpur bagi mengurangkan kebergantungan terhadap kenderaan persendirian, selain memperkukuh integrasi pengangkutan awam.

“Pendekatan ini turut memperkukuh peranan e-hailing sebagai pelengkap sistem pengangkutan awam khususnya bagi keperluan sambungan perjalanan jarak pertama dan terakhir,” katanya.

Sementara itu, PENGHANTAR berkata, pengenalan ciri Group Ride oleh Grab Malaysia dilihat sebagai langkah strategik dalam memperkemas ekosistem mobiliti bandar melalui penggunaan teknologi yang lebih cekap dan tersusun.

Katanya, dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi global termasuk gangguan bekalan bahan api, rakyat semakin memerlukan pilihan perjalanan yang lebih efisien, fleksibel dan menjimatkan kos.

“Konsep perkongsian perjalanan itu berpotensi mengurangkan jumlah kenderaan di jalan raya, sekali gus membantu melancarkan aliran trafik di kawasan bandar serta waktu puncak.

“Pelaksanaan inovasi mobiliti perlu ditambah baik dari semasa ke semasa berdasarkan maklum balas pengguna dan pemandu, termasuk mengambil kira pemandu e-hailing separuh masa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN