Beri kuota petrol 300 liter kepada petugas kesihatan

Beri kuota petrol 300 liter kepada petugas kesihatan

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pemberian subsidi petrol 300 liter kepada petugas kesihatan secara bersasar perlu dipertimbangkan, khususya melibatkan mereka yang melaksanakan tugasan lapangan secara berterusan.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BBC), Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, sebahagian petugas kesihatan awam menggunakan kenderaan sendiri bagi melaksanakan lawatan terhadap pesakit kronik, pemantauan penyakit berjangkit serta intervensi kesihatan komuniti.

“Keperluan mobiliti ini berkait secara langsung dengan keberkesanan sistem kesihatan awam di peringkat akar umbi,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Pada 26 Mac lalu, kerajaan memutuskan untuk mengurangkan kelayakan Program Budi Madani RON95 (BUDI95) kepada 200 liter daripada 300 liter bermula April, susulan konflik di Asia Barat.

Zaliha yang juga bekas Menteri Kesihatan berkata, beliau menyokong langkah rasionalisasi subsidi petrol kepada 200 liter sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kedudukan fiskal negara, susulan tekanan krisis tenaga global.

Katanya, majoriti rakyat tidak terkesan dengan pelarasan itu memandangkan data menunjukkan 90 peratus menggunakan BUDI95 kurang daripada 200 liter sebulan.

“Kerajaan boleh mempertimbangkan pendekatan bersasar bagi memastikan petugas kesihatan yang mempunyai keperluan mobiliti tugas tinggi terus diberikan sokongan sewajarnya tanpa menjejaskan matlamat rasionalisasi subsidi negara.

“Pendekatan seimbang seperti ini penting bagi memastikan disiplin fiskal negara dapat diperkukuh tanpa menjejaskan keberkesanan perkhidmatan kesihatan awam kepada rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN