PARLIMEN: RUU Pekerja Gig dibentang bacaan kali kedua esok

PARLIMEN: RUU Pekerja Gig dibentang bacaan kali kedua esok

STEVEN SIIM CHEE KEONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 tetap akan dibentangkan untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat esok sebelum dibahaskan dan seterusnya diluluskan melalui bacaan ketiga.

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong berkata, kerajaan berpegang teguh kepada komitmen untuk memastikan nasib lebih 1.2 juta pekerja gig di seluruh negara mendapat pembelaan sewajarnya melalui penggubalan RUU berkenaan.

“Selepas lebih setahun Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) bersama pelbagai pihak bekerja keras, akhirnya kita berjaya membawa RUU ini ke Parlimen. Ia penting kerana akan menjamin keadilan dan kebajikan pekerja gig.

“Sebaik sahaja diluluskan, ia akan mempunyai kuasa undang-undang yang mesti dipatuhi oleh semua pihak iaitu kerajaan, majikan, platform serta pekerja sendiri tanpa mengira siapa yang memerintah,” katanya selepas menerima memorandum daripada Transformasi Pengangkutan Awam Darat (TPAD) di hadapan Bangunan Parlimen, hari ini.

Antara kandungan utama RUU tersebut ialah penubuhan Majlis Tripartite bagi memberi kuasa kepada pekerja gig menentukan kadar bayaran bersama majikan sekali gus mengubah keadaan semasa di mana pekerja tidak mempunyai hak dalam penetapan upah.

RUU itu turut memperuntukkan perlindungan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) serta mekanisme tuntutan sekiranya berlaku penamatan kontrak yang tidak adil.

Chee Keong berkata, draf RUU ini dihasilkan hasil libat urus meluas bersama pelbagai pemain industri termasuk rider, p-hailing, penggiat filem dan wartawan bebas.

Beliau juga menolak desakan sesetengah pihak yang mahu bacaan RUU berkenaan ditangguhkan dengan alasan masih terdapat isu berbangkit.

Katanya, penggubalan RUU Pekerja Gig bukan satu proses mudah kerana ia melibatkan cabaran teknikal dan rundingan panjang, namun kini tiba masanya untuk ia diluluskan demi kepentingan pekerja.

“Bolehkah kita tangguh? Saya katakan tidak. Pekerja gig setiap hari bertarung nyawa di jalan raya demi mencari rezeki. Kerajaan sudah bersedia dan saya tidak akan tunduk kepada mana-mana lobi politik kerana ini soal kebajikan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN