Melaka mohon peruntukan bina dua masjid baharu

Melaka mohon peruntukan bina dua masjid baharu

MOHD. Ali Mohd. Rustam menandatangani plak sambil diperhatikan Ab. Rauf Yusoh pada perasmian Masjid Al-Muhtadi di Ramuan China Besar, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mengemukakan permohonan pembinaan dua masjid baharu di Merlimau Pasir melibatkan kos RM9 juta dan Gangsa dengan kos RM10 juta.

Pengarah JAIM, Datuk Md. Azhan Samat berkata, pihaknya sedang menunggu kelulusan Kerajaan Persekutuan untuk permohonan tersebut.

Beliau berkata, empat masjid kini dalam proses pembinaan iaitu di Bukit Tembakau, Cheng, Lesung Batu dan Selandar.

“Dua masjid baharu dijangka siap tahun ini di Bukit Tembakau dan Cheng manakala di Selandar dijadualkan siap tahun depan manakala Lesung Batu pada 2027.

“Kesemua masjid yang dalam pembinaan berkapasiti 1,000 jemaah serta dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti ruang solat yang luas serta selesa, parkir, pembesar suara dan tandas yang bersih bakal memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat,” katanya selepas Majlis Perasmian Masjid Al-Muhtadi di Ramuan China Besar di sini, hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam dan dihadiri Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh.

Mohd. Ali menandatangani plak perasmian dan turut serta pada Majlis Kesyukuran Peringkat Negeri, seterusnya menunaikan solat Jumaat bersama lebih 600 jemaah. 

Mohd. Azhan berkata, Masjid Al-Muhtadi yang dibina dengan kos RM3.8 juta siap dibina pada 21 November 2019. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN