Langgar standard halal: JAIM arah dua syarikat tarik produk dari pasaran

Langgar standard halal: JAIM arah dua syarikat tarik produk dari pasaran

RAHMAD Mariman pada sidang akhbar di Masjid Al-Alami, MITC Ayer Keroh, Melaka malam tadi. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) mengarahkan dua syarikat pengeluar produk kopi dan sebuah syarikat kilang biskut menarik balik semua produk mereka yang berada di pasaran susulan penarikan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM).

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, dua syarikat terlibat dikenal pasti sebagai Tian Hup Seng Biscuit Factory di Taman Telok Mas dan Heng Loong Coffee di Taman Tanjung Minyak.

Kedua-dua syarikat itu dikenakan tindakan tegas itu susulan penemuan serius dalam pemeriksaan halal di premis berkenaan.

Beliau berkata, siasatan mendapati terdapat penggunaan peralatan berus berasaskan bulu haiwan dan hasil analisis makmal mengesahkan berus tersebut mempunyai ciri-ciri bulu babi sekali gus mencetuskan pelanggaran serius terhadap standard halal.

“Berikutan itu, kedua-dua syarikat diarahkan menarik balik semua produk yang telah diedarkan serta-merta dan menghentikan penggunaan logo halal.

“Kesalahan tersebut dikategorikan sebagai ketidakakuran serius di bawah Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia Domestik 2020, khususnya melibatkan aspek syariah termasuk penggunaan, pengendalian dan pencemaran peralatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Bacaan Yasin Dan Doa Kesyukuran Peringkat Negeri Melaka Tahun 2026 Sempena 3 Tahun Kepimpinan Ketua Menteri Melaka di Masjid Al-Alami Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini malam tadi.

Rahmad berkata, isu itu terbongkar hasil pemantauan berkala yang dijalankan oleh JAIM sekitar bulan Februari lalu sebelum sampel dihantar ke Pusat Analisis Halal Malaysia (MyHAC) di Bandar Enstek, Nilai, Negeri Sembilan untuk pengesahan lanjut.

Beliau berkata, keputusan makmal yang diperoleh kemudiannya mengesahkan wujudnya elemen tidak halal pada peralatan yang digunakan dalam proses pengeluaran.

“Susulan itu, sijil halal kedua-dua syarikat telah ditarik serta-merta, dan semua produk yang dihasilkan dalam tempoh terlibat wajib ditarik balik dari pasaran,” katanya lagi.

Beliau berkata, tiada tempoh masa khusus diberikan kepada syarikat terlibat untuk mendapatkan semula sijil halal.

“Mereka perlu melaksanakan penambahbaikan menyeluruh dan hanya boleh memohon semula selepas memenuhi semua keperluan ditetapkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN