MELAKA: DAP tidak mempunyai sebarang asas perundangan mahupun moral untuk mencampuri urusan hal ehwal Islam di negeri ini, khususnya dengan mempersoalkan saranan dikeluarkan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) berkaitan pematuhan pensijilan halal.
Ketua Penerangan Pas Melaka, Ahmad Bilal Rahudin berkata, tindakan DAP negeri yang mempertikaikan saranan agar premis bersijil halal tidak mempamerkan hiasan Krismas, jelas melangkaui batas bidang kuasa yang ditetapkan undang-undang.
Katanya, JAIM melaksanakan tanggungjawabnya berlandaskan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang negeri dan garis panduan pensijilan halal yang telah lama berkuat kuasa.
“Saranan JAIM itu selaras dengan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia dan Akta Perihal Dagangan 2011 yang mengawal selia penggunaan status serta logo halal, khususnya melibatkan sensitiviti dan keyakinan pengguna Muslim.
“Pensijilan halal bukan satu paksaan, sebaliknya pilihan sukarela pemilik premis. Namun, apabila sesuatu premis memilih untuk memperoleh manfaat kepercayaan awam melalui sijil halal, maka pematuhan kepada semua syarat termasuk sensitiviti agama Islam adalah satu kewajipan,” katanya hari ini.
Ahmad Bilal berkata, sebarang tekanan politik supaya JAIM mengubah atau menarik balik saranan tersebut hanya akan melemahkan autoriti institusi agama serta mencetuskan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.
“Usaha melemahkan autoriti JAIM memberi isyarat buruk terhadap kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dan membuka ruang kepada campur tangan tidak wajar dalam urusan agama.
“Mempertahankan prinsip agama berlandaskan undang-undang bukan ekstremisme, sebaliknya tanggungjawab yang perlu dihormati oleh semua pihak dalam masyarakat majmuk,” katanya
Beliau berkata, keharmonian negara hanya dapat dipelihara apabila setiap pihak menghormati batas, bidang kuasa dan peruntukan undang-undang, bukannya mempolitikkan isu agama demi kepentingan sempit. – UTUSAN










