MELAKA: Sebanyak 38 sekolah asrama di negeri ini bakal dijaga oleh bapa angkat terdiri daripada pegawai kanan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) bagi mengekang gejala buli.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, langkah baharu itu mampu memastikan pemantauan lebih dekat terhadap kebajikan pelajar asrama.
“Bila dah jadi bapa angkat, mereka perlu jaga anak-anak ini, maknanya, mereka akan sentiasa turun padang ke sekolah asrama masing-masing untuk memastikan kejadian buli dapat dicegah.
“Selain mencegah, kita juga mahu kaji punca utama kes buli, sama ada berpunca daripada pergaulan, pengaruh media sosial atau faktor lain yang akan diteliti oleh kaunselor,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Program Gerakan Anti Buli Murid Asrama (GAMA) di Sekolah Menengah Sains Muzaffar Syah, Ayer Keroh di sini, malam tadi.
Rahmad berkata, pendekatan itu juga membabitkan tujuh sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) dengan bantuan pegawai perhubungan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memang sudah ditempatkan di setiap sekolah.
“Kita juga sudah ada pasukan khas yang menjalankan lawatan, motivasi dan pemeriksaan mengejut dan tanpa pasukan ini, mungkin jumlah kes buli lebih tinggi, tetapi Alhamdulillah pendekatan ini berjaya mengurangkan kes,” ujarnya.
Beliau menambah, kerajaan negeri mahu memastikan gejala buli dibanteras habis-habisan kerana ia boleh memberi kesan mendalam terhadap emosi dan prestasi akademik mangsa dan pelajar tidak seharusnya merasa takut berada di asrama sebaliknya berasa selamat untuk menimba ilmu.
Katanya, para guru diingatkan agar lebih peka terhadap perubahan tingkah laku pelajar serta segera bertindak jika terdapat tanda-tanda mereka menjadi mangsa buli, manakala budaya menutup mata terhadap kes buli tidak boleh lagi diterima dalam sistem pendidikan hari ini. – UTUSAN










