Ketua Menteri Melaka terima anugerah

Ketua Menteri Melaka terima anugerah

AB Rauf Yusoh (kiri) menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat daripada Kongres Human Resource Development (HRD) Asia yang disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Asia HRD Awards 2025, Dr. Mohamed Waheed Hassan Manik pada Majlis Makan Malam The Asia HRD Awards 2025 di Universiti Cyberjaya, malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat daripada Kongres Human Resource Development (HRD) Asia sebagai pengiktirafan atas kepemimpinan, dedikasi dan sumbangan beliau dalam memperkasa pembangunan modal insan negeri itu.

Pengiktirafan berprestij tersebut menjadikan Ab Rauf sebagai Ketua Menteri kedua negara yang menerima anugerah itu selepas Allahyarham Tun Abdul Taib Mahmud, bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak merangkap Ketua Menteri.

Anugerah disampaikan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Asia HRD Awards 2025, Dr Mohamed Waheed Hassan Manik, pada Majlis Makan Malam The Asia HRD Awards 2025 di Universiti Cyberjaya, malam tadi.

“Pengiktirafan ini bukan hanya untuk diri saya, tetapi untuk seluruh rakyat Melaka yang sentiasa mendokong usaha pembangunan negeri. Segala dasar yang dirangka adalah demi manfaat rakyat, agar Melaka terus melangkah sebagai negeri maju, makmur dan inklusif,” katanya selepas majlis itu, malam tadi.

Sejak memegang jawatan Ketua Menteri ke-13 pada 31 Mac 2023, Ab Rauf memperkenalkan pelbagai inisiatif termasuk Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR), Kampung Digital, Paramedik Komuniti (PARAKOM), perluasan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) dan Pelan Transformasi Ekonomi Melaka 2035 yang memfokuskan pelaburan berimpak tinggi.

Beliau menegaskan kejayaan itu hasil kerjasama erat penjawat awam dan pihak berkepentingan, sambil berikrar untuk terus memperkukuh hubungan strategik, menarik pelaburan bernilai tinggi serta memastikan kesejahteraan rakyat kekal menjadi keutamaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN