MELAKA: Rundingan Barisan Nasional (BN) dengan parti politik bagi menentukan rakan strategik menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ditunda ke tarikh yang lebih sesuai.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, penangguhan itu susulan belum ada tarikh baharu yang dipersetujui, namun proses rundingan tetap terbuka kepada mana-mana parti yang berminat untuk berunding dengan BN negeri.
Menurutnya, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Dr. Asyraf Wajdi Dusuki juga sudah membuat kenyataan rasmi untuk menjemput mana-mana parti datang berunding dengan Badan Perhubungan BN Negeri Melaka.
“Perundingan ini bukan ditangguhkan tetapi ditunda pada satu tarikh yang lebih sesuai.
“Memandangkan keterbukaan Yang Amat Berhormat Presiden UMNO yang telah menyerahkan kuasa kepada saya untuk berunding dengan mana-mana parti bagi menentukan rakan strategik dalam PRN Melaka ini, kita sedang mendapatkan tarikh-tarikh yang sesuai, tetapi belum lagi kita dapat.
“Insya-Allah, Setiausaha Agung sudah buat kenyataan rasmi akan menjemput mana-mana parti untuk datang berunding dengan pihak Badan Perhubungan Barisan Nasional Negeri Melaka. Insya-Allah akan diselesaikan dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Melaka di Seri Bendahara malam tadi.
Ditanya sama ada rundingan berkenaan akan berlangsung minggu ini, Ab Rauf berkata, ia berkemungkinan hanya dapat diadakan minggu depan berikutan kekangan masa.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa sebarang hasil rundingan tidak akan diputuskan secara bersendirian sebaliknya akan dibawa melalui saluran parti untuk penelitian dan pertimbangan sebelum keputusan rasmi dibuat.
Katanya, penilaian itu akan mengambil kira saranan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, termasuk meneliti sama ada sesuatu bentuk kerjasama itu lebih banyak membawa manfaat atau mudarat kepada parti.
“Keputusan untuk perundingan ini akan kita persembahkan kepada saluran-saluran tertentu dalam urusan parti untuk dihadamkan dan diperincikan.
“Pertama, apa yang disarankan oleh Presiden, kalau mudaratnya lebih daripada manfaat ataupun sama ada manfaatnya lebih daripada mudarat, akan diputuskan secara rasmi.
“Saya tak menjurus kepada mana-mana gabungan untuk menjadi rakan strategik, tapi akhirnya nanti menjurus kepada penilaian dan kajian yang mendalam, maka keputusan akan diputuskan oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO,” katanya.
Mengulas kenyataan Pakatan Harapan (PH) yang enggan bekerjasama dengan BN, Ab Rauf berkata, pendirian berkenaan adalah hak PH, manakala BN tetap mengambil pendekatan terbuka dengan memberi ruang kepada semua pihak untuk berunding.
“Itu hak masing-masing. Tapi kita menjalankan keterbukaan ini bagi meraikan demokrasi, pentas demokrasi Malaysia ini seperti mana yang dijanjikan.
“Hak siapa-siapa nak bersama, tak bersama. Kalau kita jemput dia tak nak datang, tak apa. Kalau jemput dia datang, kita berunding,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, kenyataan individu tidak boleh dijadikan penanda aras utama kerana keputusan mengenai kerjasama politik perlu mengambil kira pendirian rasmi kepimpinan parti.
“Sebab yang penting adalah keputusan Majlis Presiden PH. Kalau Majlis Presiden kata tak nak, tak apa, nak buat macam mana,” katanya.-UTUSAN











