BN mahu rampas DUN Ayer Keroh, Bukit Katil - Utusan Malaysia

BN mahu rampas DUN Ayer Keroh, Bukit Katil

AB. Rauf Yusoh mengibar bendera BN selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya Parlimen Hang Tuah Jaya di Dewan World Youth Foundation (WYF), Ayer Keroh, malam tadi. UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Barisan Nasional (BN) yakin mampu merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Keroh dan Bukit Katil pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 14 November ini.

Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh berkata, bukan setakat mampu merampas semula DUN Ayer Keroh dan Bukit Katil, tetapi juga mempertahankan Pengkalan Batu dan Duyong yang dimenangi pada PRN 2021.

Menurutnya, keyakinan itu bersandarkan rekod pencapaian pentadbiran negeri serta pendekatan mendekati rakyat yang dilaksanakan sejak lima tahun lalu.

Memuatkan artikel berkaitan…

Beliau berkata, ahli UMNO semata-mata tidak mencukupi untuk menjamin kemenangan, sebaliknya parti itu perlu mendapatkan kepercayaan pengundi menerusi hasil kerja kerajaan negeri sepanjang tempoh berkenaan.

“Ahli UMNO tidak cukup untuk memberikan kemenangan kepada mana-mana parti dalam pilihan raya. Apa yang penting ialah pencapaian yang dibawa kerajaan BN sejak lima tahun lalu menjadi kayu ukur kepada rakyat untuk menilai keupayaan kita.

“Kita tidak bercakap kosong, tidak menjalankan politik hasutan, kebencian atau fitnah untuk menunjukkan kita lebih baik daripada orang lain,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya Parlimen Hang Tuah Jaya di Dewan World Youth Foundation (WYF), Ayer Keroh, malam tadi.

Dalam pada itu, Ab. Rauf mengingatkan jentera BN supaya tidak mengambil mudah persaingan pada PRN kali ini, terutama apabila pelbagai pihak dijangka tampil dengan tawaran dan sumbangan bagi mempengaruhi sokongan pengundi.

Beliau berkata, rakyat perlu menilai tawaran yang dikemukakan berdasarkan rekod kerja dan pencapaian, bukannya mudah terpengaruh dengan janji manis menjelang hari pengundian.

“Jangan sekali-kali terpedaya dengan janji-janji manis. Mereka yang datang dari luar Melaka tidak tahu bagaimana kita bekerja dan pencapaian yang telah kita lakukan.

“Maaf, orang Melaka lebih tahu tentang Melaka berbanding orang luar,” katanya.

Ab. Rauf turut mengingatkan bakal calon, ketua bahagian dan penggerak parti supaya tidak menggunakan pendekatan kempen yang memburukkan pihak lawan, menyebarkan hasutan atau menanam kebencian terhadap mana-mana tokoh politik.

Katanya, BN perlu memberi tumpuan kepada kekuatan sendiri dan menjelaskan perkara yang mampu dilaksanakan demi kepentingan rakyat, berbanding menjadikan kelemahan pihak lain sebagai modal kempen.

“Saya tidak mahu bercerita tentang kelemahan orang lain atau menghasut supaya membenci seseorang tokoh. Saya sudah berpesan kepada semua bakal calon, ketua bahagian dan penggerak supaya tidak bertempur dalam medan yang tidak sihat, medan kejahatan atau hasutan.

“Kita tidak peduli apa yang pihak lain mahu lakukan. Yang penting, kita tahu apa yang telah kita lakukan untuk Melaka,” katanya.

Dalam pada itu, Ab. Rauf berkata, beliau tetap berpegang pada sasaran mempertahankan 21 kerusi DUN yang dimenangi pada pilihan raya lalu.

“Untuk berunding, saya menerima sesiapa sahaja yang mahu berunding. Tetapi untuk mengorbankan kerusi, jangan kata selangkah, setapak pun saya tidak akan berundur dalam mempertahankan UMNO,” katanya.

Beliau berkata, jentera parti perlu memastikan gerak kerja pilihan raya dilaksanakan secara teratur dan terancang bagi mencapai sasaran yang ditetapkan. –UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini