Jurutera maut dilanggar lori tangki

Jurutera maut dilanggar lori tangki

NAAZRON ABDUL YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seorang jurutera elektrik maut dalam kemalangan selepas motosikal ditunggangnya dilanggar sebuah lori tangki di Kilometer 292.8 Lebuhraya PLUS, Kajang dekat sini tengah hari tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian dipercayai berlaku pada 12.30 tengah hari apabila pemandu lori tangki terbabit dalam perjalanan dari Bahau ke Dengkil.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu lori tangki yang sedang memandu di lorong kiri secara tiba-tiba memasuki lorong kecemasan tanpa sebarang isyarat dan melanggar motosikal mangsa yang berada di lorong kecemasan.

“Akibat perlanggaran itu penunggang motosikal berusia 39 tahun cedera parah dan lelaki terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Naazron berkata, pemandu lori berusia 27 tahun itu ditahan dan akan direman bagi membantu siasatan.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati lelaki terbabit negatif dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) APJ 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian terbabit boleh menghubungi balai polis berdekatan atau Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang, Inspektor Ahmad Zahrein Muhd. Suod di talian 017-3818422 bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu, tular satu rakaman video daripada kamera papan pemuka kenderaan berdurasi lebih 33 saat memaparkan sebuah motosikal yang berada lorong kecemasan dihimpit sebuah lori tangki yang secara tiba-tiba memasuki laluan sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN