KUNDASANG: Lebih 20 khemah yang dijadikan gerai peniaga pasar malam rosak diterbangkan ribut kencang di pekan ini lewat petang tadi.
Kejadian berlaku kira-kira jam 5 petang ketika peniaga baru membuka perniagaan mereka. Ribut tiba-tiba melanda lokasi itu, mengakibatkan barangan milik peniaga termasuk khemah mengalami kerosakan.
Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan. Video kejadian yang tular memaparkan peniaga berusaha membaiki khemah dan mengemas barangan selepas ribut reda.
Beberapa kerosakan turut dilaporkan di Kota Kinabalu apabila beberapa kenderaan dihempap dahan pokok yang patah akibat angin kencang di Jalan Tun Fuad Stephen, Tanjung Lipat.
Pihak berkuasa menasihatkan orang ramai mengelakkan kegiatan di kawasan terbuka, pantai atau laut sepanjang tempoh ribut.
Nelayan dan pengguna bot kecil diminta menangguhkan aktiviti di perairan sehingga keadaan cuaca kembali reda.
Orang ramai juga diingatkan supaya sentiasa memantau amaran cuaca jangka pendek yang dikeluarkan MetMalaysia dan agensi berkaitan.
Sebelum kejadian, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran awal sekitar jam 1.30 tengah hari, memaklumkan ribut petir dari arah laut dijangka melanda Pantai Barat sekitar jam 3 petang.
Amaran susulan pada jam 5 petang meramalkan cuaca buruk berterusan hingga jam 9 malam di beberapa daerah termasuk Pantai Barat, Pedalaman, Tawau dan Sandakan.
Kawasan terjejas ialah Kota Kinabalu, Papar, Tuaran, Penampang, Kota Belud, Ranau, Beaufort, Tambunan dan Semporna. Pihak berkuasa menekankan kepentingan orang ramai sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan keselamatan sepanjang tempoh cuaca buruk. – UTUSAN










