Peluang BN sapu 53 kerusi DUN Johor naik lebih 60 peratus

Peluang BN sapu 53 kerusi DUN Johor naik lebih 60 peratus

ONG KIAN MING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Peluang Barisan Nasional (BN) untuk menawan sekurang-kurangnya 53 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Johor dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini diramalkan mencapai lebih 60 peratus selepas seminggu tempoh kempen berlangsung.

Bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr. Ong Kian Ming berkata, dalam unjuran dilaksanakannya, Pakatan Harapan (PH) dijangka hanya memperoleh tiga kerusi berbaki di kawasan ditandingi manakala Perikatan Nasional (PN) diramalkan gagal memperoleh sebarang kemenangan.

Katanya, sejak PRN Johor diumumkan, beliau telah membuat unjuran berdasarkan tiga senario dengan tahap kebarangkalian berbeza bersandarkan keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu.

“Berdasarkan keputusan PRU15, PH mampu memenangi 31 kerusi DUN dengan 43 peratus undi popular, berbanding hanya 13 kerusi DUN dengan 26.4 peratus undi popular dalam PRN Johor 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang juga merupakan ahli DAP berkata, sokongan pengundi Cina dan India terhadap PH dijangka menurun masing-masing sebanyak 20 peratus dan 30 peratus kerana sokongan kepada PH pada PRU15 oleh kedua-dua kumpulan pengundi itu telah mencapai tahap maksimum.

Katanya, terdapat beberapa alasan kebarangkalian BN hampir menyapu bersih kerusi DUN di Johor pada kali ini atas faktor antaranya PH tidak mempunyai naratif kempen yang padu selain menyerang Menteri Besar Johor yang popular, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

“PH masih belum menamakan calon Menteri Besar. Ramai pemimpin tertinggi PH tidak bertanding dalam mana-mana kerusi DUN, sekali gus mewujudkan kekosongan dari segi kepimpinan kanan untuk membimbing dan membentuk naratif kempen.

“PH masih belum mengumumkan manifestonya sedangkan BN telah berbuat demikian sehari selepas hari penamaan calon. Walaupun PH akan mengumumkan manifestonya pada hujung minggu ini, tetapi baki masa tidak mencukupi untuk memperkenalkan manifesto tersebut kepada calon-calon PH sendiri, apatah lagi kepada keseluruhan pengundi di Johor,” katanya.

Selain itu, beliau juga berpendapat PH telah menimbulkan lebih banyak masalah kepada dirinya sendiri sepanjang kempen, termasuk kenyataan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming kepada sebuah akhbar berbahasa Cina bahawa beliau akan meletakkan jawatan Kabinet sekiranya BN menang besar di Johor dan kemenangan itu membawa kepada pembebasan Datuk Seri Najib Razak.

“Kenyataan itu ditambah pula dengan hantaran media sosial Marina Ibrahim yang mendakwa seorang pemimpin kanan DAP secara peribadi memintanya bersedia menghadapi kemungkinan Najib dibebaskan, walaupun pada masa yang sama pemimpin tersebut mengambil pendirian awam menentang pembebasan Najib.

“Prestasi cemerlang BN, termasuk kemungkinan MCA memenangi lebih banyak kerusi DUN di Johor berbanding DAP, dijangka memberi kesan limpahan positif kepada BN dalam PRN Negeri Sembilan serta mungkin mempercepatkan pembubaran Parlimen pada penghujung tahun ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN