Empat tertuduh kes bunuh Nhaveen dibicara Oktober ini

Empat tertuduh kes bunuh Nhaveen dibicara Oktober ini

EMPAT lelaki diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini atas pertuduhan membunuh seorang mangsa buli, T. Nhaveen pada 2017.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 7 hingga 9 Oktober serta 12 hingga 16 Oktober ini sebagai tarikh perbicaraan kes membabitkan empat lelaki yang diperintah membela diri atas pertuduhan membunuh seorang mangsa buli, T. Nhaveen pada 2017.

Tarikh berkenaan ditetapkan dalam prosiding pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar, Muhammad Firdaus Abdul Wahab.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Amri Johari berkata, mahkamah turut menetapkan satu lagi pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Hakim, Datuk Mohd. Radzi Abdul Hamid pada 13 Julai ini sebagai persediaan terakhir sebelum perbicaraan bermula.

“Jadi, sekiranya ada sebarang isu atau perkara yang ingin dibangkitkan oleh mana-mana pihak, ia akan dimaklumkan ketika itu (13 Julai) sebelum perbicaraan berlangsung pada Oktober,” katanya kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Pulau Pinang hari ini.

Menurut beliau, pasukan pendakwaan akan dikendalikan oleh beliau bersama Timbalan Pendakwa Raya, Yazid Mustaqim Roslan manakala kesemua empat tertuduh akan diwakili peguam, Manvir Singh Dhillon dan R. Thevan.

Mengulas tempoh masa yang panjang iaitu mencecah sembilan tahun sebelum perbicaraan berlangsung, Mohd. Amri berkata, cabaran utama pasukan pendakwaan adalah menyegarkan semula fakta dan keterangan kes yang telah berlarutan sepanjang tempoh berkenaan.

“Kita perlu meneliti semula keseluruhan fakta kes, keterangan saksi serta rekod perbicaraan terdahulu supaya semua pihak benar-benar bersedia apabila perbicaraan bermula nanti,” katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan memerintahkan empat lelaki iaitu J. Ragesuthan, S. Gokulan dan dua lagi individu yang masih remaja ketika kejadian membela diri atas pertuduhan membunuh Nhaveen selepas membenarkan rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang melepaskan dan membebaskan mereka pada 3 Oktober 2023.

Panel hakim turut mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk peringkat pembelaan.

Keempat-empat tertuduh juga telah diperintah untuk membela diri atas pertuduhan mencederakan rakan Nhaveen, T. Previin, berhampiran Pusat Pembelajaran Karpal Singh di Jalan Kaki Bukit, Gelugor, antara pukul 11 malam hingga 12 tengah malam pada 9 Jun 2017.

Nhaveen meninggal dunia pada 15 Jun 2017 selepas enam hari dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat kecederaan parah yang dialaminya dalam kejadian tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN