KUALA LUMPUR: Generasi muda perlu diberi ruang, bimbingan dan sokongan praktikal bagi memastikan mereka mampu memimpin negara ke arah masa depan lebih progresif.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, kepelbagaian masyarakat Malaysia adalah kekuatan utama namun ia hanya akan direalisasiakn sekiranya dipupuk dengan penuh tanggungjawab serta dibimbing ke arah yang betul.
“Jika kita mahu Malaysia kekal progresif daripada segi ekonomi dan sosial, kita memerlukan belia Malaysia yang berani mendengar dengan mendalam dan bertindak dengan matang. Sebuah generasi yang terinspirasi oleh kebenaran, bukan terperangkap dengan sinis.
“Generasi yang memahami bahawa mencintai negara bukanlah bererti menutup mata terhadap kekurangannya, tetapi bekerja bersama untuk memangkas, melindungi dan menumbuhkan kembali.
“Dengan itu, mereka akan meraikan warisan kita yang kaya, ketabahan kita, dan potensi kita membawa Malaysia ke hadapan serta mengangkat kedudukan kita di pentas dunia,” titah baginda pada Majlis Penganugerahan Geran Merdeka 2025 di sini, hari ini.
Pada majlis itu, Sultan Nazrin turut mengumumkan lima penerima Anugerah Geran Merdeka 2025 bagi penempatan Antarabangsa yang bakal menjalankan penyelidikan di institusi ternama dunia.
Mereka ialah R. Dinesh Sangarran yang akan menjalankan kajian penjagaan dementia melalui pendidikan sensitif budaya, Dr. Rasyidah Rehir, transformasi latihan perubatan melalui derma mayat dan Calvin Shee Yin Ming, penyelidikan mikrobiom periuk kera untuk antibiotik baharu.
Dua lagi penerima geran ialah G. Keisheni iaitu pembangunan tampalan mikroneedle biodegradable untuk rawatan luka serta Nur Hafizah Annezah Utuh bagi rawatan jantung peribadi berpandukan DNA.
Sejak diperkenalkan pada 2013, Anugerah Geran Merdeka telah memberi peluang kepada 33 penerima berusia 22 hingga 35 tahun untuk menimba ilmu di lebih 40 institusi antarabangsa.
Kesemua penerima geran itu kemudiannya membawa pulang idea dan kepakaran bagi memperkukuh komuniti di tanah air.
Titah Sultan Nazrin lagi, baginda juga bangga apabila permohonan untuk geran ini mencapai rekod baharu tahun ini iaitu buat pertama kali melebihi 200 permohonan.
“Lonjakan ini bukan sahaja tanda minat yang semakin berkembang, tetapi bukti nilai geran ini menyokong pembelajaran global, penerokaan rentas disiplin, dan usaha berpaksikan tujuan.
“Mereka bukan sahaja membina masa depan mereka sendiri, tetapi turut membina masa depan Malaysia dan menyumbang kepada masa depan makmur yang dikongsi oleh kita semua,” titah baginda. – UTUSAN










