PETALING JAYA: Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) percaya Garis Panduan Pengurusan Buli di Tempat Kerja yang diperkenalkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mampu diselesaikan dengan lebih pantas dan berkesan.
Bagaimanapun, MMA menegaskan bahawa KKM perlu memastikan satu penyelesaian tuntas terhadap kes-kes buli yang pernah dilaporkan sebelum ini bagi mengembalikan semula kepercayaan warganya.
Presiden MMA, Datuk Dr. Kalwinder Singh Khaira berkata, pihaknya menyambut baik pelancaran Garis Panduan Pengurusan Buli di Tempat Kerja oleh KKM untuk anggota perkhidmatan kesihatan.
Katanya, inisiatif itu merupakan hasil daripada seruan berulang kali oleh pelbagai pihak termasuk MMA agar diwujudkan persekitaran kerja yang selamat dan saling menghormati di seluruh sistem penjagaan kesihatan negara.
“Kami berharap garis panduan ini bukan sahaja akan menyediakan prosedur yang jelas bagi melaporkan dan menangani kes buli, tetapi juga akan membawa perubahan sebenar di lapangan.
“Kebajikan petugas kesihatan harus menjadi keutamaan kerana ia secara langsung memberi kesan kepada kualiti rawatan yang diterima oleh pesakit,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.
Semalam, KKM melancarkan garis panduan pengurusan buli di tempat kerja, menjadikannya kementerian pertama dalam sektor awam yang memperkenalkan dokumen khusus bagi menangani isu tersebut.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pelaksanaan garis panduan itu membuktikan komitmen KKM menolak budaya buli melalui dasar toleransi sifar.
“Sebagai sebuah kementerian berprestasi tinggi yang melibatkan profesional, teknokrat dan birokrat di semua peringkat, daripada pusat kecemerlangan sehingga ke klinik desa dan komuniti, kita mahu mewujudkan budaya kerja yang sihat, adil dan selamat.
“Kita akan memerangi budaya buli di semua tempat kerja tanpa kompromi,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr. Kalwinder berkata, MMA percaya dengan adanya garis panduan itu semua kes buli yang dilaporkan dapat diselesaikan dengan lebih pantas dan berkesan.
“Kami juga berharap inisiatif ini akan menjadi titik tolak kepada budaya sifar toleransi terhadap buli dalam perkhidmatan kesihatan negara,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, MMA mahu kepentingan untuk memastikan penyelesaian tuntas bagi kes-kes buli yang telah dilaporkan sebelum ini.
“MMA sebelum ini telah membawa beberapa kes kepada perhatian pihak KKM, termasuk satu kes di Sabah.
“Bagi memastikan keyakinan petugas kesihatan terhadap sistem sedia ada, aduan yang diterima mesti ditangani dengan segera, telus dan adil serta menghasilkan penyelesaian yang muktamad untuk semuaL pihak yang terlibat,” katanya. – UTUSAN








