PETALING JAYA: Skuad Wanita Bawah 20 (B-20) tahun negara menutup kempen Kumpulan F Kelayakan Piala Asia Wanita B-20 2026 dengan kemenangan selepas menewaskan Guam 2-0 pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Pada aksi itu, skuad negara terpaksa menunggu sehingga minit ke-64 untuk memecah kebuntuan gol menerusi ledakan Kaseh Carlmila.
Gol itu terhasil selepas lorongan cantik daripada S. Thivashini sebelum disudahkan dengan sempurna menerusi rembatan kaki kanan Kaseh Carlmila.
Begitupun, Guam hampir menyamakan kedudukan lima minit kemudian namun tindakan cemerlang penjaga gol negara, Nurdiana menafikan percubaan Hinengi San Nicolas.
Kaseh Carlmila sekali lagi menemui sentuhan gol pada minit ke-86 selepas mudah mengatasi penjaga gol Guam Sierra Ruehl, sebelum menolak bola ke gawang yang tidak dikawal.
“Kami tidak pernah berputus asa, walaupun tewas dalam dua perlawanan sebelum ini kepada Iran dan Jepun tetapi pemain tetap bersemangat untuk memburu kemenangan ke atas Guam.
“Saya dan pasukan telah buktikan malam ini, kami menang dengan Guam walaupun tewas besar dengan Jepun sebelum ini. Terima kasih juga kepada semua penyokong yang turun ke stadium memberi sokongan kepada kami,” kata Kaseh Carlmila selepas perlawanan.
Kemenangan itu menyaksikan skuad negara mencatat satu kemenangan dan dua kekalahan iaitu di tangan Iran 3-0 dan Jepun 16-0 untuk menamatkan saingan peringkat kumpulan di kedudukan ketiga.
Sementara itu, satu lagi aksi yang berlangsung sebelah petang menyaksikan Jepun mudah menundukkan Iran 11-0 untuk menerajui kumpulan F dengan mencatat rekod bersih dengan tiga kemenangan sekali gus layak ke pusingan seterusnya.-UTUSAN