Guru Bahasa Inggeris cipta rekod dunia paling lama berkhidmat

Guru Bahasa Inggeris cipta rekod dunia paling lama berkhidmat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEORANG pendidik di Amerika Syarikat (AS) menerima pengiktirafan daripada Rekod Dunia Guinness sebagai guru bahasa paling lama berkhidmat.

Dedikasi Beverly Hannett-Price, 90, selama 67 tahun dalam dunia pendidikan melayakkannya menerima pengiktirafan tersebut pada 2 Februari lalu, dalam satu majlis di Detroit Country Day School di daerah Oakland, Michigan.

Guinness berkata, rekod itu mengiktiraf komitmen sepanjang hayat Hannett-Price terhadap pelajar, komuniti sekolah dan profesion perguruan.

“Beliau terus mengajar dengan semangat dan tenaga yang sama seperti ketika permulaan kerjayanya,” katanya.

Malah, pihak sekolah juga menyifatkan pengiktirafan bersejarah itu bukan sahaja menghargai tempoh kerjaya Hannett-Price, malah pengaruhnya terhadap pelajar dengan pelbagai pencapaian merangkumi bidang hiburan, perniagaan dan seni.

Beliau juga merupakan guru kepada mendiang pelakon Robin Williams dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Steve Ballmer.

Sementara itu, Hannett-Price yang mula bergelar pendidik sejak 1958 tidak pernah terfikir untuk meninggalkan profesion perguruan.

“Saya tidak pernah meninggalkan bangunan ini, atau mana-mana bangunan sekolah yang pernah saya mengajar, dan saya tiada keinginan untuk melakukan perkara lain selain mengajar.

“Saya juga tidak pernah terfikir untuk bersara. Saya sangat gembira dapat mendidik anak-anak ini.

“Saya mendengar cerita mereka termasuk kebimbangan dan kegembiraan,” katanya kepada akhbar The Detroit News.

Buku rekod Guinness mengesahkan Hannett-Price tidak pernah berhenti mengajar sepanjang 67 tahun, serta pernah berkhidmat di beberapa sekolah di Alabama dan Florida.

Beliau yang memiliki Ijazah Sarjana Bahasa Inggeris memulakan kerjayanya sebaik tamat pengajian dari Kolej Albion pada 1958.

 

SELEBRITI SEKOLAH
Pelakon pemenang Anugerah Tony dan Emmy, Courtney Vance, turut berkongsi kenangannya semasa bergelar anak didik Hannett-Price sambil menyifatkan gurunya itu sentiasa berada di sisi ketika susah dan senang.

“Beliau benar-benar mengajar saya cara menulis dan menyusun pemikiran yang indah, kerana itu kami terus berhubung sehingga kini,” katanya.

Hubungan mereka berkembang daripada guru dan pelajar kepada sahabat, dengan Hannett-Price juga hadir memberi sokongan ketika Vance ketika menerima bintangnya di Hollywood Walk of Fame baru-baru ini.

“Beliau mempunyai ramai pelajar dan sentiasa berhubung dengan saya. Sewaktu bapa saya meninggal dunia akibat bunuh diri, beliau datang dan tinggal bersama ibu saya di rumah kami.

“Pada waktu itu saya sedar, ini bukan sekadar hubungan guru dengan pelajar, sebaliknya ikatan yang kekal sepanjang hayat,” katanya.

Cucu Hannett-Price, Charlotte Cook, yang juga pelajar di sekolah sama berkata, neneknya sentiasa menjadikan sesi pembelajaran sesuatu yang menarik.

“Kawan-kawan selalu bercerita mengenai nenek saya. Bagi saya itu sangat istimewa, sememangnya beliau seorang selebriti di sekolah dan di luar (sekolah),” katanya.

Dalam temu bual dengan media, Hannett-Price sempat berkongsi falsafah peribadinya mengenai pengajaran dan memberi inspirasi kepada orang lain.

“Jadilah versi terbaik diri anda yang mungkin tidak akan ada orang lain seperti anda.

“Bersikap terbukalah, anda boleh bertemu dengan insan yang paling menakjubkan, buka minda kamu kepada kemungkinan,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN