Saintis Antartika rungkai misteri laut tidak sama - Utusan Malaysia

Saintis Antartika rungkai misteri laut tidak sama

LAUT Ross tidak sekata disebabkan oleh daya graviti di Antartika. - Foto AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

WASHINGTON: Sekumpulan saintis akhirnya mendakwa menemui jawapan di sebalik fenomena aras laut tidak sama di Antartika.

Terdapat permukaan laut  yang rendah sehingga 130 meter berbanding kawasan di sekelilingnya di Laut Ross manakala air didapati semula jadi mengalir ke kawasan yang graviti lebih kuat.

Ia berlaku disebabkan oleh lubang graviti yang dikenali sebagai Antartic Geoid Low (AGL) dan terbentuk akibat pergerakan batuan yang sangat perlahan, menurut beberapa pakar.

Bermula 70 juta tahun lalu, ketika dinosaur masih berkeliaran di Bumi, batuan kurang padat terkumpul di bawah benua beku itu dan melemahkan tarikan graviti.

Lubang graviti ini bermula kecil sebelum berkembang dengan cepat antara 50 hingga 30 juta tahun lalu sehingga menghasilkan penurunan permukaan laut yang aneh seperti yang berlaku ketika ini.

Para saintis menggabungkan data gempa bumi dengan pemodelan berasaskan fizik untuk menghasilkan peta graviti yang sepadan dengan pemerhatian satelit

“Jika kita dapat memahami dengan lebih baik bagaimana bahagian dalam Bumi membentuk graviti dan aras laut, kita memperoleh gambaran tentang faktor yang mungkin penting bagi pertumbuhan dan kestabilan lapisan ais besar,” kata penulis bersama kajian itu, Dr. Alessandro Forte dari Universiti Florida.

Kajian terbaharu itu telah mendedahkan punca apa yang dipanggil sebagai lubang graviti  di bawah tanah Antartika, satu kawasan di mana tarikan graviti Bumi adalah luar biasa lemah, menurut satu laporan.

Penyelidikan yang diterbitkan jurnal Scientific Reports mencadangkan bahawa batuan mantel panas yang naik telah membentuk semula corak graviti selama berjuta-juta tahun.

Ia kemudian mempengaruhi taburan lautan dan berpotensi membantu pertumbuhan lapisan ais besar di Antartika, lapor laman berita The Independent.

Walaupun belum dibuktikan secara mutlak, saintis-saintis itu mengesyaki terdapat kaitan kuat antara pembentukan lubang graviti ini dengan kestabilan glasier di Antartika. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN