Sindiket cuba seludup hasilan haiwan bernilai RM1.9 juta

Sindiket cuba seludup hasilan haiwan bernilai RM1.9 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cubaan sindiket menyeludup masuk hasilan haiwan bernilai RM1.9 juta tanpa permit import sah gagal selepas Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang merampas tujuh kontena dalam operasi di Pusat Pemeriksaan Kontena CFS 4, Pelabuhan Klang Barat semalam. 

Rampasan kesemua kontena telah dilakukan pada 11 pagi hingga 2 petang.

Komander AKPS Port Klang, Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, hasil pemeriksaan mendapati kesemua kontena tersebut membawa dagangan melibatkan hasilan haiwan tanpa permit import Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) yang sah.

Beliau berkata, nilai keseluruhan rampasan dianggarkan sebanyak RM1,917,292.54 dengan berat keseluruhan 159,157.93 kilogram.

“Sebanyak tujuh kontena telah disita melibatkan produk UHT Milk dari New Zealand bernilai RM136,820.96.

“Turut dirampas adalah Frozen Duck dari Ireland bernilai RM964,989.13 serta Milk Powder dari New Zealand dengan nilai RM815,482.45,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, tindakan penyitaan dibuat bagi mencegah risiko kemasukan penyakit haiwan ke dalam negara selain memastikan aspek keselamatan makanan dan kepentingan kesihatan awam terus terpelihara.

Nik Ezanee berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa termasuk membawa masuk hasilan haiwan tanpa permit import sah.

“AKPS akan terus memperkukuh kawalan dan penguatkuasaan di semua pintu masuk negara bagi memastikan keselamatan biosekuriti, kesejahteraan rakyat dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.

“Komitmen berterusan dalam memperkukuh kawalan dan penguatkuasaan di pintu masuk negara termasuk tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN