KUALA LUMPUR: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) bercadang menubuhkan Dana Wakaf Khazanah Warisan sebagai model pembiayaan baharu yang lestari bagi menyokong usaha pemuliharaan seni dan warisan negara.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, dana berkenaan akan berfungsi sebagai tabung amanah khas untuk menyokong inisiatif pemuliharaan dan pengembangan seni warisan negara.
“Melalui Dana Wakaf Khazanah Warisan, sektor korporat, badan berkepentingan serta masyarakat umum boleh menyalurkan sumbangan dalam bentuk kewangan atau sokongan material.
“Usaha ini mengambil contoh amalan negara luar seperti Australia yang berjaya mengumpul lebih AU$9 juta hasil kerjasama kerajaan negeri, institusi kewangan dan penderma utama,” katanya ketika menghadiri majlis pelancaran kerjasama antara Jabatan Muzium Malaysia dan Chagee Malaysia di Muzium Negara hari ini.
Tambahnya, Dana Wakaf Khazanah Warisan itu juga berperanan sebagai platform strategik yang menghubungkan kerajaan, sektor korporat dan masyarakat dalam memelihara serta memperkasa seni dan warisan negara di peringkat antarabangsa.
Sejak tahun 2017, Chagee telah mentransformasikan budaya teh tradisional kepada satu pengalaman gaya hidup moden, memanfaatkan teknologi termaju dan penjenamaan yang inovatif
Menurut Aaron, kerjasama tersebut turut mempromosikan Muzium Tekstil Negara dan mengangkat seni tekstil tradisional, Telepuk.
“Kerjasama ini merupakan satu langkah signifikan dalam mempromosikan warisan tekstil Malaysia dengan menampilkan motif dan seni telepuk berinspirasikan Kain Batik Lepas Bertelepuk dan Sarang Telepuk.
“Motif tradisi ini telah diadaptasi secara kreatif dalam rekaan produk seperti gelas minuman edisi khas, beg kertas mesra alam serta barangan eksklusif lain,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pemasaran Chagee Asia Pasifik, Eugene Lee berkata, kolaborasi tersebut merupakan kerjasama pertama syarikat tersebut dengan Kementerian.
“Kami ingin mempromosikan budaya tempatan serta meningkatkan kefahaman masyarakat mengenai nilai seni dan warisan negara,” katanya.
Kempen ini telah bermula pada 15 Ogos dan akan berakhir pada 15 November 2025. – UTUSAN










