DALLAS: Roberto Martinez sah melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih Portugal selepas skuad kendaliannya tersingkir pada pusingan 16 terbaik Piala Dunia 2026 susulan kekalahan 0-1 kepada Sepanyol, awal pagi tadi.
Pengendali kelahiran Sepanyol berusia 52 tahun itu menamatkan tugasnya selepas Portugal gagal mara ke suku akhir apabila dibolosi jaringan lewat Mikel Merino dalam aksi yang berlangsung di gelanggang Dallas Cowboys.
Martinez, yang mengambil alih Portugal pada 2023, sering menjadi sasaran kritikan kerana kekal memberi kepercayaan kepada kapten berpengalaman, Cristiano Ronaldo, meskipun prestasi penyerang itu dipersoalkan sepanjang kempen Piala Dunia.
Sebelum membimbing Portugal, Martinez pernah mengendalikan Belgium selain mempunyai pengalaman luas dalam bola sepak England bersama Swansea City, Wigan Athletic dan Everton.
Pemergian Martinez sebenarnya tidak mengejutkan apabila kontraknya bersama Persekutuan Bola Sepak Portugal berakhir sejurus tamat kempen Piala Dunia 2026.
“Benar, itu adalah perlawanan terakhir saya bersama skuad kebangsaan Portugal.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat Portugal kerana tempoh ini amat bermakna dan menjadi satu kebanggaan yang sukar digambarkan.
“Sokongan, semangat serta tenaga yang diberikan oleh penyokong dan seluruh rakyat Portugal cukup luar biasa. Saya akan membawa kenangan ini bersama saya sepanjang hayat,” katanya.-AGENSI










