Felcra agih RM126.91j kepada 72,048 peserta

Felcra agih RM126.91j kepada 72,048 peserta

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) menyerahkan replika cek Agihan Keuntungan Boleh Agih Interim 1/2026, FELCRA Berhad kepada wakil Felcra di Bandar Tun Abdul Razak di Maran, Pahang. – UTUSAN/SHAIKH AHMAD RAZIF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARAN: Felcra Berhad me­ngagihkan Keuntungan Boleh Agih Interim 1 Tahun 2026 berjumlah RM126.91 juta kepada 72,048 peserta daripada 747 projek yang mencatat keuntu­ngan di seluruh negara, sekali gus merekodkan agihan interim kedua tertinggi dalam tempoh sedekad.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamed Ismi Abdul Majid berkata, pembayaran bagi pre­stasi Januari hingga April tahun ini disalurkan secara berperingkat bermula semalam.

Katanya, jumlah agihan itu meningkat sebanyak 7.6 peratus berbanding Interim 1 tahun lalu berjumlah RM117.87 juta, sekali gus membuktikan komitmen Felcra untuk terus memberikan pulangan terbaik kepada peserta meskipun industri perlada­ngan berdepan penyusutan harga komoditi utama.

“Agihan ini diharap membantu meringankan beban kewa­ngan peserta terutama bagi menampung keperluan keluarga termasuk kos pendidikan anak-anak yang melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi.

“Bagi projek kelapa sawit, secara purata peserta menerima kira-kira RM250 seekar sebulan. Ini bermakna bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini, peserta memperoleh hampir RM1,000 seekar bergantung kepada keluasan tanah masing-masing,” katanya selepas majlis pengumuman Agihan Keuntu­ngan Boleh Agih Interim 1 Tahun 2026 yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sempena Hari Pembangunan Luar Bandar Sedunia 2026 di Stadium Tun Abdul Razak Jengka, di sini semalam.

Mohamed Ismi berkata, pencapaian tersebut direkodkan walaupun harga purata minyak sawit mentah (CPO), buah tandan segar (BTS) dan getah menunjukkan trend penurunan berbanding tempoh sama tahun lalu.

Menurutnya, purata harga CPO bagi tempoh Januari hingga April tahun ini sekitar RM4,357 satu tan metrik berbanding kira-kira RM4,600 satu tan metrik bagi tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, katanya, pe­ngurangan kos operasi sebanyak 12 peratus berjaya mengimbangi penyusutan harga komoditi se­kali gus meningkatkan keuntungan yang boleh diagihkan kepada peserta.

Beliau berkata, jumlah projek yang mencatat keuntungan turut meningkat kepada 747 projek berbanding 684 projek bagi tempoh sama tahun lalu, manakala bilangan projek yang mengalami kerugian berjaya dikurangkan hasil pemantauan prestasi yang berterusan, pe­ngurusan kos yang lebih berhemat serta kecekapan operasi.

Menurutnya, prestasi itu membuktikan kejayaan pembangunan ladang luar bandar tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada turun naik harga pasaran, sebaliknya dipacu disiplin pengurusan, peningkatan produktiviti ladang dan kecekapan operasi.

Mengenai agihan seterusnya, Mohamed Ismi berkata, pembayaran Interim 2 meliputi prestasi Mei hingga Ogos dijangka dibuat sekitar November atau Disember ini selepas proses penutupan akaun pada September.

Katanya, FELCRA akan terus memperkukuh pengurusan pembangunan ladang luar bandar dan meningkatkan kecekapan operasi bagi memastikan manfaat yang mampan terus dinikmati peserta, di samping menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi komuniti luar bandar dan menyokong agenda pembangunan desa negara.

Katanya, agihan keuntungan tersebut mencerminkan komitmen berterusan FELCRA dalam memperkukuh pembangunan­ luar bandar sebagai antara pe­macu strategik pembangunan negara, selain memastikan ke­sejahteraan lebih 72,000 peserta terus terpelihara walaupun berdepan ketidaktentuan ekonomi global. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN