KUALA LANGAT: Pelajar perempuan tingkatan tiga sebuah sekolah menengah di Banting di sini yang cedera ditikam semalam, dikatakan menerima sekurang-kurangnya 14 tikaman dan salah satunya menembusi paru-paru.
Mangsa yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik ditikam pada bahagian belakang badan dan muka sehingga seragam sekolahnya berlumuran darah.
Bapa mangsa, Mohd. Firuz Ibrahim, 43, berkata, dia menerima panggilan daripada guru kira-kira pukul 9.30 pagi sebelum bergegas ke Hospital Banting.
“Bila saya sampai, memang anak teruk. Saya difahamkan 14 hingga 16 tikaman di bahagian belakang dan muka. Paru-paru kiri kena dan sekarang petugas perubatan memasukkan tiub bagi mengeluarkan darah (dari dalam paru-paru).
“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana anak stabil dan berada dalam keadaan sedar serta boleh bercakap,” katanya ketika ditemui di pekarangan Jabatan Kecemasan Hospital Banting semalam.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, situasi di sekolah menengah itu gempar apabila berlaku kejadian tikaman membabitkan seorang pelajar perempuan oleh rakannya.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar mengesahkan suspek sudah ditahan.
Mohd. Firuz berkata, anaknya dan suspek mengenali satu sama lain dan pernah berada dalam kelas yang sama semasa di tingkatan dua.
“Saya diberitahu kawannya itu sebaya dan sedang ‘dicutikan’ atas rawatan peribadinya. Cuma, saya tidak pasti kalau suspek berdendam dengan anak saya.
“Tetapi saya yakin anak bukanlah sasaran utama, sebaliknya ketika itu dia berada berdekatan dengan suspek, itu yang kena. Malah, anak saya pun tak pernah mengadu pernah diganggu rakannya itu sebelum ini,” katanya.
Sementara itu, pelajar lain yang berada di tempat kejadian memberitahu, tragedi berlaku ketika waktu rehat ketika mangsa sedang duduk selepas membeli roti.
“Suspek masuk kawasan kantin melalui laluan dari arah surau. Kemudian tiba-tiba keadaan jadi gempar apabila ramai pelajar lain bertempiaran lari menyelamatkan diri,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, tumpuan ketika ini adalah untuk memastikan mangsa diberikan rawatan perubatan dan sistem sokongan psikososial untuk warga sekolah.
“Saya mohon orang ramai tidak menyebarkan berita palsu atau merekayasa fitnah memandangkan kes ini sedang disiasat oleh pasukan polis,” katanya. – UTUSAN










