76.5 peratus isi rumah miliki rumah sendiri

76.5 peratus isi rumah miliki rumah sendiri

NGA KOR MING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 76.5 peratus isi rumah di Malaysia kini memiliki rumah sendiri, manakala 20.3 peratus masih menyewa dan hanya 3.3 peratus tinggal di rumah kuarters, menurut Laporan Survei Kemudahan Asas 2022 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, angka itu membuktikan keberkesanan pelbagai inisiatif kerajaan dalam memperluas pemilikan kediaman rakyat.

“Kerajaan Madani sentiasa cakna terhadap isu pemilikan rumah, khususnya dalam kalangan golongan muda serta mereka yang berpendapatan rendah dan sederhana.

“Sebanyak 500,000 unit Rumah Mampu Milik (RMM) disasarkan untuk disiapkan sepanjang Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12),” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) mengenai strategi dan pelan tindakan untuk menangani isu kenaikan harga rumah yang semakin membebankan golongan muda dan berpendapatan sederhana terutama di bandar-bandar utama.

Kor Ming memaklumkan sehingga 31 Mac 2025, sebanyak 98 peratus sasaran telah dicapai, melibatkan 492,360 unit rumah yang telah siap, sedang dibina atau dalam perancangan.

Beliau turut menyentuh kejayaan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) di bawah program i-Biaya, yang menawarkan jaminan pembiayaan rumah sehingga RM500,000. 

“Sejak 2008 hingga Mei 2025, sebanyak 88,507 permohonan telah diluluskan melibatkan jaminan bernilai RM20.9 bilion. Tahun ini, dana SJKP ditambah RM10 bilion menjadikan jumlah keseluruhan RM30 billion,” katanya.

Mengulas cabaran kenaikan harga rumah, Kor Ming berkata, ia dipengaruhi pelbagai faktor termasuk kos pembinaan, harga tanah, lokasi, kos infrastruktur dan keuntungan pemaju.

“Bagi menangani isu tersebut, katanya, KPKT menetapkan siling harga RMM pada RM300,000 di bawah Dasar Perumahan Mampu Milik (DRMM) dengan mengambil kira dasar perumahan negeri masing-masing.

“Selain itu, pemetaan harga rumah turut dibuat berdasarkan pendapatan median setiap negeri dan daerah bagi memastikan harga yang ditetapkan bersesuaian dengan kemampuan penduduk setempat,” katanya.

Beliau turut menggalakkan kajian kebolehlaksanaan (feasibility study) sebelum sesuatu projek dimulakan agar penawaran dan permintaan rumah adalah seimbang, selain memperkenalkan Cukai Keuntungan Harta Tanah untuk mengekang aktiviti spekulasi tidak munasabah.

“Kerajaan juga sedang meneliti supaya Skim Sewa Untuk Beli (PPR-RTO) diperluaskan memandangkan wujud perubahan trend dalam kalangan generasi muda yang kini lebih mengutamakan kestabilan ekonomi sebelum membeli rumah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN