12 percanggahan urus niaga tanah di KL- PAC

12 percanggahan urus niaga tanah di KL- PAC

JABATAN PENERANGAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mendapati terdapat 12 penemuan percanggahan dalam sembilan prosiding berkaitan penjualan dan pembangunan tanah oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sehingga berlakunya pembangunan tidak terkawal.

Pengerusinya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pihaknya telah merumuskan 12 perkara utama dalam penemuan sepanjang prosiding berlangsung.

Beliau berkata, peranan Lembaga Penasihat Bandar Raya adalah terhad sebagai penasihat di bawah Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 (Akta 190]) dan tidak mempunyai kuasa membuat keputusan secara bersama, yang berbeza dengan sistem Ahli Majlis di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri lain.

“Ini menyebabkan ketiadaan mekanisme semak dan imbang yang berkesan dalam sebarang keputusan berkaitan pembangunan tanah Kerajaan di Kuala Lumpur. 

“Pelanggaran terhadap Pelan Tempatan Kuala Lumpur yang berterusan menjadi penyebab pembangunan yang tidak terkawal dan membuka ruang kepada pelbagai pihak untuk memohon pembangunan.

“Selain itu, Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 (Akta 190) dan Akta Perancangan 1982 (Akta 267) memberi kuasa kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur untuk mengawal pembangunan Kuala Lumpur sepenuhnya,” katanya dalam sidang media di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah beliau, pembatalan rizab tanah awam dan kawasan hijau yang telah diwartakan dalam Pelan Tempatan Kuala Lumpur (PTKL) dan diberi milik kepada pihak pemaju adalah isu kritikal yang boleh menjejaskan kualiti hidup penduduk dan fungsi ekologi bandar. 

“Ini menunjukkan terdapat kelemahan dalam sistem perancangan pembangunan tanah di Kuala Lumpur yang memerlukan semakan semula, terutamanya berkaitan kewajaran pembangunan seperti pemberian milik tanah bagi projek berdensiti tinggi di kawasan lapang atau hijau,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, proses pertimbangan dan keputusan yang dibuat Jawatankuasa Kerja Tanah WPKL berkaitan pemberimilikan tanah tidak melibatkan Ahli Parlimen yang mewakili kawasan terjejas. 

“PAC dimaklumkan keputusan Jawatankuasa Kerja Tanah WPKL dibuat secara konsensus oleh semua Ahli Jawatankuasa dan bergantung sepenuhnya kepada ulasan agensi teknikal.

“Kelulusan tidak akan diberikan jika terdapat bantahan, percanggahan pendapat atau tanpa clearance daripada DBKL yang sepatutnya telah membuat libat urus dengan pihak berkepentingan.

“Walau bagaimanapun, merujuk kepada isu Kolam Takungan Kampung Bohol, pandangan dan bantahan daripada 1,275 penduduk tidak diambil kira dan dipertimbangkan dalam pemberi milikan tanah tersebut kepada pihak pemaju,” katanya.

Beliau berkata lagi, pengurusan pembangunan tanah di Kuala Lumpur melibatkan pelbagai agensi dan jawatankuasa. 

“Terdapat proses penilaian tertentu dan bergantung kepada kaedah-kaedah tanah sedia ada. 

“Formula kiraan premium tanah yang digunakan sejak 30 tahun menyebabkan nilai pemberi milikan tanah tidak sejajar dengan harga pasaran menyebabkan tanah kerajaan dijual dengan harga jauh lebih rendah daripada harga pasaran yang boleh menyebabkan kerugian. 

“PAC mengambil maklum formula yang digunakan sejak 30 tahun ini akan ditambah baik dan dipinda sewajarnya,” katanya.

Mas Ermieyati juga menyatakan bahawa tanah telah diserahkan kepada pemaju walaupun terdapat aset infrastruktur milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Beliau berkata, permohonan pemberian hak milik tanah oleh jabatan itu telah ditolak dalam beberapa kes.

Selain itu, PAC juga berkata pemberi milikan  tanah seluas 0.86 ekar di Taman Desa, yang telah diberikan jawatankuasa kepada pemaju walaupun mendapat bantahan daripada kerajaan, termasuk Kementerian Dalam Negeri dan polis.

“Didapati sistem DBKL OSC 3.0 Plus masih belum boleh diakses oleh orang ramai. Platform ini sepatutnya berfungsi sebagai sumber maklumat yang komprehensif memberikan butiran lengkap mengenai status, lokasi dan maklumat lain yang berkaitan dengan tanah milik kerajaan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN