'Menang atau kalah PRN Johor, saya tetap Perdana Menteri' - Utusan Malaysia

‘Menang atau kalah PRN Johor, saya tetap Perdana Menteri’

ANWAR Ibrahim bersalaman dengan orang ramai ketika tiba pada Program Kita Genk Madani X Anak Muda Bukit Batu di Taman Tropika, Kulai, Johor. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan tiada keperluan untuk pihak lawan berkempen secara agresif kerana beliau tetap Perdana Menteri Malaysia, sama ada PH menang atau kalah pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Anwar berkata, semua pihak tidak perlu menggunakan kata-kata kurang enak kerana kehadirannya ke negeri ini bukan bertujuan untuk mencari gaduh.

“Menang PRN Johor saya Perdana Menteri, kalah PRN Johor pun saya tetap Perdana Menteri. Saya kata begini bukan sombong cuma nak ingatkan cakap cermat sikitlah, jangan lupa.

“Saya bukan datang untuk gaduh tetapi untuk beritahu, projek-projek seperti lebuh raya, Sistem Transit Rapid (RTS) Link, Aliran Transit Automasi Bertingkat (E-ART) jangan bimbang, itu bidang kuasa federal (Persekutuan) kita akan buat.

“Tetapi di Johor, rumah murah untuk rakyat, gerai-gerai untuk rakyat berniaga, itu kerajaan negeri punya bidang kuasa, bukan federal, jadi buatlah,” katanya ketika berucap pada Program Kita Genk Madani X Anak Muda Bukit Batu di Taman Tropika di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, beliau berharap rakyat Johor khususnya golongan muda tidak termakan hasutan segelintir pihak yang cuba untuk melaga-lagakan rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Anak muda jangan terima pihak yang mahu laga-lagakan antara kaum, ini Malaysia, masa depan negara ini kita perlu bersatu padu dan bekerja bersama-sama. Semua kaum perlu berkongsi, Johor merupakan sebuah negeri yang maju.

“Rakyat dibawah bergaduh, pemimpin di atas sapu semua,” katanya.

Perdana Menteri turut menyindir tindakan kerajaan negeri yang mengagihkan bantuan kepada rakyat menggunakan kaedah lama sehingga memaksa orang ramai beratur berjam-jam.

“Rakyat yang terima Sumbangan Tunai Rahmah (STR), Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sehingga RM1,400; RM1,800 ada kena beratur ke? Tiada kan? Ini untuk dapat RM200 warga emas kena beratur.

“Kalau tidak tahu mahu buat macam mana, tukar kerajaan lah. Ada kata kalau tukar kerajaan habislah orang Melayu, saya jadi Perdana Menteri sudah tiga tahun lebih, habis ke Melayu?,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN